Mohd Ashari Samsuddin menjaringkan gol pertama melepasi penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi dalam Perlawanan Piala Malaysia peringkat suku akhir kedua antara Kelantan melawan Terengganu di Stadium Sultan Mohamad Ke IV, malam tadi. Keputusan seri 2-2 menyaksikan Terengganu menang dengan agregat 5-3.
Terengganu dan T’Team boleh bertemu di Stadium Shah Alam pada final bolasepak Piala Malaysia tahun ini. Ini akan menjadi sejarah kepada bolasepak tanah air.
Pertama dua pasukan dari satu negeri bertemu pada tirai final yang berprestij dan T’Team menjadi pasukan kedua kelab selepas Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) ke final piala berkenaan.
MMPJ yang dibimbing Dollah Salleh pada 2003 membuat kejutan kerana bukan sahaja ke final tetapi juga menang Piala Malaysia dan T'Team juga boleh melakukannya!
Apapun, kedua-duanya perlu bekerja keras untuk menghadapi lawan masing-masing apabila Terengganu dijangka bertemu Selangor dan T’Team pula berdepan Negeri Sembilan pada separuh akhir nanti.
Kejayaan Terengganu tewaskan Kelantan meletakkan pasukan itu sebagai pilihan.
Bak kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa kekalahan Kelantan di tangan Terengganu pada peringkat suku akhir malam tadi tetap dianggap satu perlawanan yang terbaik buat namun akur akan kehebatan pasukan "Peteh Ganu Peteh" itu.
Katanya, Terengganu sememangnya layak menang kerana mempamerkan aksi bertenaga mereka selain menghukum kelalaian barisan pertahanan Kelantan yang agak leka mengekang asakan pelawat itu.
"Mereka layak menang kerana bermain bersungguh-sungguh dan mempamerkan aksi sangat bertenaga. Kelantan tewas di tangan pasukan yang lebih baik daripada kita (Kelantan).
"Penyerang dan barisan pertahanan Terengganu bermain dengan cemerlang dan menghukum kelalaian pemain Kelantan terutama di barisan pertahanan," katanya selepas perlawanan suku akhir kedua antara kedua pasukan itu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam tadi.
Pada perlawanan itu, Kelantan dan Terengganu mencatatkan keputusan seri 2-2 tetapi pasukan pelawat itu berjaya melangkah ke separuh akhir apabila mencatatkan keputusan secara agregat 5-3.
"Kepada Terengganu kita ucapkan selamat maju jaya untuk tempoh yang akan datang manakala kita (Kelantan) akan mula mengatur persiapan untuk musim akan datang," katanya.
Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mohd Irfan Bakti memuji kesungguhan pemainnya kerana berjaya mengekang kemaraan Kelantan untuk menang pada perlawanan itu.
Beliau berkata, pasukannya tidak kisah menentang siapa saja pada peringkat separuh akhir nanti termasuk Selangor.
Katanya, Selangor sememangnya pasukan pilihan namun tidak mustahil buat Terengganu menewaskan pasukan itu seperti mana berjaya menumpaskan Kelantan yang juga juara bertahan.
No comments:
Post a Comment