Pelabur asing dari China menyatakan minat melabur dalam bidang ternakan udang di negeri ini melibatkan jumlah pelaburan berbilion ringgit.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata dia akan mengadakan lawatan kerja di negara itu dalam tempoh terdekat bagi menilai sejauh mana kesungguhan pihak terbabit dan keberkesanan projek terhadap Terengganu.
“Ladang ternakan itu mungkin akan ditempatkan di kawasan Marang sekiranya ianya bersesuaian dan mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.
“Kerajaan negeri memang mengalu-alukan lebih ramai pelabur dalam pelbagai bidang sama ada berkaitan pertanian, perladangan dan perkilangan kerana ia boleh memberi pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan program Sukan Keluarga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, di Padang Bola Kampung Matang, Hulu Terengganu semalam (14 Oktober).
Lebih 5,000 penduduk di DUN itu menyertai pelbagai jenis sukan yang disediakan penganjur program.
Futsal, bola jaring, tarik tali, kerusi muzik, persembahan gerak gempur dan senamrobik, antara 70 aktiviti dan jenis sukan yang sediakan.
Ahmad Said memberitahu Terengganu yang sememangnya kaya dengan sumber alam dijangka terus mendapat perhatian pelabur asing dengan membuka pelbagai rangkaian perniagaan yang membawa jumlah pelaburan berbilion.
Menteri Besar berkata, penemuan rangka manusia berusia lebih 16,000 tahun yang rangka tertua pernah ditemui di negara ini, di Gua Bewah, Tasik Kenyir Hulu Terengganu menjadi kebanggaan semua pihak.
“Kerajaan berusaha melaksanakan pelbagai kemudahan di lokasi itu bagi menambah lagi jumlah pengunjung yang sedia ada.
“Ini termasuk membina menara terapung setinggi tiga tingkat bagi memudahkan pelancong melihat secara dekat khazanah berharga itu,” katanya.
Katanya,oleh kerana masalah mendapatkan bekalan elektrik di kawasan berkenaan , pembinaan menara yang turut menyediakan tangga bergerak itu akan menggunakan tenaga solar atau hybrid.
"Pembinaan tangga bergerak penting untuk membolehkan pelancong melawat Gua Bewah dan artifak di dalamnya dengan keadaan selamat kerana keadaan persekitaran licin dan gelap,” katanya.
No comments:
Post a Comment