Krew dan pelatih UMT melambai dari atas kapal RV Discovery selepas perasmian oleh Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tuanku Nur Zahirah di Pulau Duyong Jumaat lalu.
Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah merangkap Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkenan menyempurnakan majlis pelancaran kapal latihan dan penyelidikan, Research Vessel Discovery (RV Discovery) milik universiti itu di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa Pulau Duyong, Kuala Terengganu, Jumaat (30 Sep 2011).
Kapal ini akan membuat pelayaran pertamanya ke Langkawi, Kedah bulan ini.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat pada majlis bersejarah itu.
Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri disambut oleh Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman; Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman dan isteri, Puan Sri Suslita Abdul Majid serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan isteri, Toh Puan Halijah Ali.
Seri Paduka berdua kemudiannya turut meluangkan masa selama 30 minit untuk melawat kapal penyelidik bernilai lebih RM15 juta itu sambil diiringi oleh Aziz.
Dalam ucapan alu-aluan, Aziz berkata, pelancaran yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong itu akan dapat merangsang semangat warga kerja UMT untuk bekerja lebih keras dalam menjalankan pelbagai kajian penyelidikan melibatkan oseanografi.
Katanya, pemilikan kapal penyelidikan pertama UMT ini meletakkan UMT sebagai universiti pertama di Malaysia memiliki sebuah kapal yang serba canggih untuk penyelidikan samudera.
Kapal ini akan menjadi kebanggaan dan ikon UMT dalam usahanya menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam penerokaan, penjanaan dan penyebaran ilmu yang berkaitan samudera.
"Kita berharap melalui kewujudan kapal yang dilengkapi dengan kemudahan penyelidikan ini akan memberi kita ruang dan peluang yang lebih luas untuk meneroka khazanah laut.
"Kita juga bersedia untuk berkongsi kepakaran dan kemudahan yang kita ada dengan masyarakat luar agar hasil kajian yang diperoleh dapat dimanfaatkan bersama kelak," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan kelmarin.
RV Discovery khusus dibina bagi penyelidikan oseanografi dengan kelengkapan terkini setanding dengan kapal penyelidikan luar negara dan berkeupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika serta boleh berada selama dua minggu di lautan.
Kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu dibina pada September 2008 oleh syarikat tempatan, Kay Marine Sdn. Bhd. dan berkemampuan menampung 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa. Kemudahan seperti kabin, ruang makan serta ruang rehat yang selesa turut disediakan.
Ia juga dilengkapi dengan pelbagai peralatan penyelidikan termasuklah peta elektronik, alat bantuan perjalanan, pengukur kedalaman air, pengukur kemasinan air, pengesan haba dan suhu air di samping alat dengar yang mampu berfungsi walaupun sejauh 30,000 meter di dasar laut.
Dalam aspek keselamatan, kapal itu dilengkapi sistem pemadam kebakaran pyrogen, juga kemudahan rawatan air masin untuk bekalan minuman selain makmal kering dan basah serta bilik memproses segala data terkumpul.
Utusan Malaysia & Teganukita
No comments:
Post a Comment