Seorang warga emas cedera pada bahu dan dada kirinya akibat ditoreh dengan parang oleh lelaki yang cuba menyamun di rumahnya di Kampung Gong Nangka dekat Jerteh kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, warga emas berusia 69 tahun yang tinggal berdua dengan isterinya yang lumpuh berumur 68 tahun itu mengalami cedera parah dan pendarahan banyak.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan kira-kira sejam kemudian.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa bagaimanapun stabil setelah menerima lapan jahitan akibat bergelut dengan penyamun tersebut.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang bersiap hendak tidur terdengar bunyi kaca pecah di bahagian dapur rumah namun pada mulanya tidak mengendahkannya kerana menyangka perbuatan kucing.
“Bagaimanapun beberapa minit kemudian, mangsa terdengar kaca pecah kali kedua menyebabkan dia keluar dari bilik untuk memeriksa dan pada masa sama, dia terserempak dengan suspek yang memegang dua bilah parang menerpa ke arahnya,” kata Kamaruddin dalam sidang media kelmarin.
Kamaruddin berkata, berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek menyebabkan suspek berusia 27 tahun itu sempat menghiris bahu dan dada kiri mangsa sebelum melarikan diri.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun bertindak terus melawan suspek menyebabkan suspek bengkak pipi dan bibir kanan akibat ditumbuk, malah telefon bimbit dan jam tangan suspek turut terjatuh di tempat kejadian.
Katanya, tindakan pantas polis dengan kerjasama penduduk kampung telah berjaya menahan suspek kira-kira jam 8.10 pagi semalam ketika suspek menyorok dalam semak di Kampung Bukit Kenak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
Kamaruddin berkata, suspek yang berasal dari Kampung Pacakan, Pasir Puteh, Kelantan itu turut cuba melawan dengan menggunakan sebilah parang yang dibawanya tetapi berjaya diberkas polis.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methanphetamine dan dia direman untuk membantu siasatan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment