Monday, October 24, 2011

7,930 Kanak-Kanak Tadika Terengganu Khatam Quran

Gambar-gambar Teganukita

Hampir 8,000 kanak-kanak tadika yang mengikuti program Pintar al-Quran diraikan dalam majlis khatam peringkat negeri di Kuala Terengganu, petang kelmarin (Sabtu).

Ia mencatatkan penyertaan paling ramai sejak program itu digerakkan oleh kerajaan negeri enam tahun lalu bagi menyemai kecintaan dan penguasaan membaca al-Quran bermula di peringkat awal usia.

Secara keseluruhannya, pada tahun ini seramai 7,930 kanak-kanak tadika berusia lima dan enam tahun berjaya khatam al-Quran berbanding 6,246 orang pada tahun lalu.

Program itu digerakkan melalui usaha bersama Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran negeri dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Pada tahun ini, seramai 1,780 murid yang khatam al-Quran adalah dari tadika YIT, 2,375 tadika Kemas, 3,525 tadika Jabatan Pelajaran negeri manakala 250 adalah kanak-kanak tadika kelolaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Majlis khatam beramai-ramai yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Stadium Tertutup Gong Badak diserikan dengan bacaan al-Quran, bacaan Yasin, persembahan nasyid dan dikir Arab oleh kanak-kanak berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, sejak dilancarkan oleh kerajaan negeri pada 2006, seramai 24,445 kanak-kanak sudah khatam al-Quran.

Katanya, ia merupakan pertambahan 1,684 orang berbanding tahun lalu dan termasuk dalam jumlah itu ialah 332 kanak-kanak berjaya hafaz surah Yasin dan 176 orang mampu menghafaz surah itu bersama terjemahannya sekali.

"Ini merupakan satu perkembangan yang baik kepada kanak-kanak di negeri ini apabila mereka didedahkan dengan pembelajaran al-Quran seawal usia itu tatkala kanak-kanak lain masih ada yang tidak mampu membaca.

"Saya percaya melalui program ini yang dianjurkan secara berterusan, Terengganu bakal melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran pada masa akan datang," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan meneruskan usaha memantapkan pembelajaran al-Quran secara meluas bagi melahirkan generasi berilmu dengan kehidupan bertunjangkan agama.

"Program seumpama ini bukan mudah untuk dianjurkan apatah lagi mereka masih kecil, namun keperluan terhadap penguasaan al-Quran amat penting demi masa depan mereka," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment