Sebanyak 19 pasangan pengantin berketurunan Tionghua memilih untuk mengabadikan detik bersejarah melangsungkan perkahwinan pada tanggal 11.11.11 (11 November 2011).
Daripada jumlah itu, 12 pasangan merupakan pengantin baru yang berkahwin hari ini manakala tujuh lagi pasangan sudah berkahwin tetapi mendaftar semula perkahwinan mereka.
Majlis perkahwinan beramai-ramai itu bermula pada 10 pagi berlangsung meriah di bangunan Persatuan Buddha Terengganu (TBA) di Kuala Terengganu.
Presiden TBA, Wong Choon Kheng dan isteri, Chia Siew Hoon serta Naib Pengerusi, Chong Jun Hwa bersama pasangannya, Lee Beng Ong serta Setiausaha Agung persatuan itu, Soon Gin Leong dan isteri, Ong Yok Lan turut mendaftar semula perkahwinan masing-masing.
Ia turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar, Datuk Toh Chin Yaw.
Bagi pasangan pengantin baru, Pang Jia Ming, 24, dan isterinya, Poh Su Ting, 20, mereka memilih tarikh unik 11.11.11 untuk disatukan sebagai suami isteri.
Jia Ming, usahawan dalam bidang pertanian dan Su Ting, akauntan berkata mereka merancang untuk memilih tarikh itu untuk dijadikan kenangan paling indah dalam hidup mereka.
Sementara itu, pasangan Lim Beng Thian, 75, dan isteri, Ong Eng Cheng, 64, yang telah berkahwin sejak 37 tahun lalu mendaftar semula perkahwinan mereka sempena tarikh 11.11.11 yang dianggap 'bersejarah'.
Malah menurut Beng Thian, 11 November juga merupakan tarikh bermulanya dia mengenali isterinya, Eng Cheng sehingga membawa mereka mendirikan rumahtangga.
"Tarikh ini (11.11.11) sangat (ong) (bertuah), walaupun dah lama kahwin tapi kami daftar semula hari ini sebagai satu kenangan paling indah," katanya sambil menambah, hasil perkongsian hidup dengan Eng Cheng, mereka dikurniakan dua anak dan tiga orang cucu.
Sementara itu, seramai 19 bayi '11.11.11' selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini setakat pukul 2 petang tadi.
Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Anwar Sulaiman berkata daripada jumlah itu sembilan bayi lelaki dan 10 bayi perempuan selamat dilahirkan dan dua daripadanya bersalin melalui pembedahan.
Katanya bayi pertama selamat dilahirkan pada pukul 12.39 pagi merupakan bayi perempuan seberat 4.06 kilogram diikuti bayi kedua yang lahir kira-kira 11.18 pagi juga bayi perempuan.
Zaidah Ibrahim, 39, ketika ditemui pemberita melahirkan rasa gembira dan bersyukur dan tidak menyangka akan bersalin pada hari ini yang mempunyai angka menarik.
No comments:
Post a Comment