Saturday, November 12, 2011

Agong Rasmi Hotel Wakaf Pertama Di Malaysia Bernilai RM256.4 Juta

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Jumaat berkenan merasmikan hotel wakaf pertama di Malaysia bernilai RM25.6 juta di Pantai Puteri, Tanjung Keling di Melaka.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Sementara itu Jamil berkata kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM256.4 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

"Ini bagi melaksanakan projek-projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di atas hartanah wakaf yang berpotensi serta strategik di seluruh negara.

"Usaha murni ini dilestarikan lagi dalam RMK-10 tahun 2011 dan 2012 di mana JAWHAR telah diberi peruntukan sebanyak RM72.76 juta bagi melaksanakan 10 projek sambungan," katanya ketika berucap di majlis Perasmian Hotel Pantai Puteri semalam.

Jamil Khir berkata wakaf merupakan satu instrumen penting dalam usaha memperkasakan sosioekonomi ummah secara produktif melalui penggunaan tanah wakaf secara optimum.

Katanya sebanyak 16 projek fizikal di bawah RMK-9 dilaksanakan dengan persetujuan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku pemegang amanah tunggal hartanah wakaf di setiap negeri mengikut fokus utama pembangunan Islam seperti ekonomi, kesihatan, pendidikan, perumahan dan agama.

Katanya rakyat di negara ini bakal menikmati pelbagai manfaat hasil pembangunan wakaf di seluruh negara selaras dengan teras ketiga RMK-10 iaitu menangani masalah ketidaksamaan sosio ekonomi secara membina dan produktif.

Hotel Pantai Puteri yang merupakan projek kerjasama JAWHAR dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) ini mula dibina pada 15 Januari 2009 dan merupakan salah satu daripada empat rangkaian hotel wakaf selain tiga buah lagi yang masih dalam pembinaan iaitu di Taiping, Port Dickson dan Kuala Terengganu.

Hotel wakaf setinggi tujuh tingkat yang dibina di atas tanah seluas 0.58 hektar itu mempunyai 87 bilik penginapan dan dilengkapi dengan kemudahan yang setanding hotel bertaraf tiga bintang.

No comments:

Post a Comment