Seramai 29 pelajar dari tiga buah sekolah berasrama penuh di Kuala Terenggganu menyertai program pertukaran antarbangsa bersama Dinmas Pendidikan Provinsi Sumatera Utara dalam usaha merapatkan hubungan dalam bidang pendidikan antara negara serumpun itu.
Program empat hari yang bermula Rabu hingga semalam (12 Nov) dianjurkan oleh Homestay Teluk Ketapang Kuala Terengganu juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai hubungan antarabangsa.
Menurut Pengerusi Homestay Teluk Ketapang Md Azmi A Aziz, program itu melibatkan 10 pelajar lelaki dan 19 pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Batu Rakit.
"Pelajar Terengganu telah diketahui mempunyai prestasi cemerlang dalam akademik. Jadi dengan adanya program pertukaran pelajar ini, kita berharap ia akan menjadi nilai tambah terhadap kualiti yang ada pada pelajar kita," katanya.
Katanya, menerusi program ini pelajar diserahkan kepada tujuh keluarga angkat yang terpilih dan berpeluang mengetahui dengan lebih dekat mengenai cara hidup dan budaya masyarakat di sini.
Mereka ditempatkan di dua buah sekolah yang terkenal di Medan iaitu Sekolah Menengah Atas 1, Kota Medan dan Sekolah Menengah Negeri Kejurusan untuk merasai perbezaan situasi pembelajaran di sini.
Mereka diserahkan kepada Sekretaris Dinas Pendidikan Provinsi Sumatera Utara Bahaudin Manik menerusi satu majlis ringkas yang diadakan di sini semalam.
"Menerusi program ini juga kita berharap, bakal pemimpin negara pada masa akan datang ini mampu menjalin hubungan yang lebih erat antara dua negara supaya lebih kukuh," katanya.
Md Azmi berkata, sebelum ini pihaknya juga telah beberapa kali menganjurkan program yang sama melibatkan pertukaran pelajar ke Surabaya, Brunei, Singapura, dan Kota Sawah Lunto, Padang.
"Pada akhir tahun ini pula, kita bercadang mengadakan program kemanusiaan dan kemasyarakatan melibatkan pelajar lepasan SPM ke Vietnam dan Kemboja," katanya.
Dalam masa yang sama, katanya, menerusi program yang diadakan ini, ia juga dapat memperkenalkan pelancongan di Terengganu khususnya Homestay Teluk Ketapang di Sumatera.
No comments:
Post a Comment