Sunday, November 13, 2011

Irfan Kendali Selangor, 11 Pemain Tidak Disambung Kontrak

Bekas pengendali Terengganu, Irfan Bakti sah menjadi jurulatih Selangor musim depan, demikian pengumuman pengurus skuad bola sepak Selangor, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Menurutnya, Irfan telah memeterai kontrak sebagai pengendali baru Selangor bagi musim 2012 dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), baru-baru ini.

"Irfan akan memulakan tugasnya untuk membentuk skuad Selangor dengan mengendalikan latihan pertama Isnin ini (esok)," kata Hamidin pada sidang akhbar di Jakarta, semalam.

Pada sidang media tersebut beliau turut mengumumkan senarai pemain yang dikekalkan untuk musim depan.

Antara pemain yang terus dikepercayaan untuk menyarung jersi merah kuning termasuk Safiq Rahim, P. Gunalan, Amri Yahya, Amirul Hadi Zainal, Azidan Sarudin, Asraaruddin Putra Omar, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan, Mohd. Fazlidin Khalid, Mohd. Nasriq Baharom, Bunyamin Omar, Mohd. Razman Roslan dan Mohd. Fairul Azwan.

Pemain yang tidak dilanjutkan kontrak adalah Mohd. Fadzli Saari, Rudie Ramli, Khairul Anuar Baharom, Mohd. Iqbal Suhaimi, Yosri Derma Raju, Mohd. Hardi Jaafar, Saiful Amar Sudar, D. Surendran, S. Srithaaran, S. Depan dan Muhd. Nazri Elias.

Tiga pemain tempatan yang menyertai Selangor musim 2012 ialah penjaga yang dipinjamkan dari USM FC, G. Jeevanathan, Solehin Kanasian Abdullah atau K. Soley dan pemain Felda United, Mohd. Hasmarul Fadzir Hassan.

"Kita juga hampir pasti untuk mengikat pemain import iaitu ketua pasukan kebangsaan Lebanon, Ramez Bayoub untuk mengisi posisi pertahanan," katanya.

No comments:

Post a Comment