Tuesday, November 22, 2011

300,000 Penduduk Besut Dan Setiu Dapat Faedah Projek Empangan

Lebih 300,000 penduduk Besut dan Setiu serta beberapa kawasan di utara Terengganu akan mendapat kemudahan pengairan hasil pembinaan empangan Paya Beda di Hulu Besut yang dijadual siap tahun 2013.

Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata projek berharga RM333 juta itu dimulakan tahun lepas di kawasan seluas 4,000 hektar.

"Apabila siap kelak ia bukan sahaja akan memberikan kemudahan bagi penduduk menjayakan aktiviti pertanian malah akan berfungsi sebagai projek tebatan banjir.

"Projek ini juga mampu membekalkan kemudahan air untuk minuman kepada penduduk di utara Terengganu termasuk beberapa kawasan di Kelantan," katanya kepada pemberita di Besut semalam pada majlis penyampaian komputer riba kepada 34 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kawasan Hulu Besut.

Abdullah berkata projek yang dilaksanakan melalui Program Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER) itu mampu mewujudkan pelbagai aktiviti sampingan yang mampu memberikan pendapatan tambahan kepada penduduk.

Ketika mengulas desakan penduduk Kampung Durian Telur, Hulu Besut, yang mahukan kerajaan membina jambatan baru untuk menghubungkan kampung mereka dengan Pekan Pasir Akar, beliau berkata perkara itu sedang diusahakan.

"Permohonan mendapatkan jambatan baru di kawasan berkenaan telah dimajukan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah dan telah ada dalam perhatian kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment