Analisis Hambali Abdul Latiff
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said difitnah kononnya ditangkap khalwat dan berkahwin satu lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak juga turut menjadi mangsa kepalsuan dalam media sosial apabila anaknya didakwa telah berbelanja di Perth, Australia semasa beliau (Najib) menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Perth Oktober lepas.
Sedangkan pada masa itu, anaknya berada di negara lain.
Kata Najib: "Saya pergi buat ibadat haji, mendapat taraf tetamu diraja, kerana bukan kita minta, tetapi ditawarkan oleh Raja Arab Saudi. Kemudahan ialah bila buat tawaf, ada lah beberapa askar menjaga keselamatan untuk memudahkan proses (tawaf). (Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr) Zahid Hamidi pun ada di situ. Tetapi bila keluar dalam media sosial, mereka padamkan jemaah-jemaah haji lain, seolah-olah saya dikepung, orang lain tidak boleh buat tawaf.”
Amat jelas, semua ini adalah satu kepalsuan. Ia suatu fitnah yang amat besar, tetapi mereka yang melakukan fitnah itu tidak takut pada dosa yang besar.
Seperti kata Ahmad Said, fitnah ini setaraf dengan dosa membunuh dan kerana itu ia perlu diperangi habis-habisan.
Dua contoh ini membuktikan bahayanya jika kita tidak betulkan segala-segala kepalsuan dan fitnah dalam menghadapi pilihan raya. Banyak lagi pembohongan dan fitnah ditabur terhadap pemimpin BN dan kerajaan.
Persoalannya kenapa ia dibiar dan terbiar kepada rakyat menilainya?
Bagi Perdana Menteri, BN tidak mungkin berjaya kalau rakyat tidak sokong, kalau rakyat terpesong, kalau rakyat dikelirukan, kalau rakyat percayai fitnah, kepalsuan, separuh kebenaran.
Ini kerana semua ini, boleh membantut agenda transformasi besar yang ingin diperjuangkan.
Semua pihak perlu menerangkan kepada rakyat mengenai segala usaha positif kerajaan dan jangan biarkan rakyat dikelirukan
Bagi pihak-pihak tertentu, khususnya pembangkang, kalau sesuatu yang tidak benar, tetapi diulang banyak kali, lama-lama rakyat akan terimanya sebagai kebenaran.
Kerana itu Perdana Menteri mahukan semua pemimpin BN jangan ambil enteng peranan media sosial.
Pada Konvensyen Media Sosial 1Malaysia, yang julung kali diadakan di negara ini yang dihadiri lebih 2,000 pengamal media sosial di Kuala Lumpur semalam, Perdana Menteri menekankan betapa pentingnya sumber maklumat alam maya.
Ini kerana maklumat yang diterima oleh masyarakat dari alam maya ini boleh membentuk minda generasi baru dan mampu berperanan bagi menangi hati dan fikiran rakyat, serta merasai denyutan nadi rakyat.
Malah alam maya dan media sosial inilah yang merupakan wahana dan kaedah yang paling utama yang sepatutnya diguna pakai untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Sambil itu ia boleh digunakan kerajaan dan parti menilai pandangan dan sikap rakyat terhadapnya.
Pandangan ikhlas Perdana Menteri ini perlu dikongsi oleh semua pemimpin dan anggota BN kerana jika masih bergantung kepada cara lama menyebar dan menilai maklumat, BN akan ketinggalan.
Datuk Seri Najib berkata dunia atas talian adalah medan pertarungan antara pembangkang dan perikatan pimpinannya, dan ramai yang kini mengunjungi laman-laman web, portal dan blog sebagai saluran maklumat. Perdana Menteri berkata pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli BN perlu mengadaptasi mengikut perubahan masa dengan menggunakan media sosial jika mahu kekal relevan. Media sosial menjadi semakin penting dalam arena politik negara ini dengan 11.3 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook setakat pertengahan tahun ini.
Sebagai satu jenama, BN perlu terus mendapat sambutan rakyat selagi produk dan perkhidmatannya terus memenuhi kehendak masyarakat.
Kita melihat sendiri bagaimana di Terengganu ini BN pernah ditolak pada pilihan raya umum 1999 tetapi diterima rakyat hampir sepenuhnya pada dua pilihan raya umum selepas itu iaitu pada 2004 dan 2008.
Kerana itu, adalah penting agar jenama BN terus mendapat sambutan khususnya di kalangan generasi muda dan cara paling baik ialah menggunakan alam maya kerana ia lebih dekat dengan generasi muda.
Bagi Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN penerimaan golongan muda kepada jenama BN perlu diaplikasikan dalam pilihan raya terutamanya dalam melahirkan "calon boleh menang" yang boleh memastikan kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.
Datuk Seri Najib yang juga Presiden UMNO majukan jenama BN memastikan bahawa calon yang dipilih dapat berkhidmat dengan baik untuk rakyat dan menunaikan janji kepada rakyat.
Bagi Perdana Menteri, jenama BN akan bermasalah sekiranya apa yang disediakan tidak seperti apa yang digambarkan atau gambaran yang diberikan salah dan sengaja diburuk-burukkan.
Kerana itu, semua pihak perlu bekerja keras untuk memastikan jenama BN mencapai tahap yang dikehendaki rakyat.
Berikutan itu, Perdana Menteri mahu BN, terutama pemimpinnya, perlu memanfaatkan teknologi baru dalam menyampaikan semua hasrat dan mesej Jenama BN kepada rakyat bagi memastikan parti itu sentiasa relevan.
Menyedari bahawa sebahagian besar masyarakat, terutama sekali golongan muda, menggunakan saluran alam maya, termasuk media sosial, sebagai saluran utama untuk menerima maklumat mengenai apa jua perkembangan yang berlaku, baik di dalam mahupun di luar negara, semua pemimpin BN perlu menghayati kepentingan saluran maklumat ini.
Sebagai sebuah parti yang tertua di negara ini, BN tidak boleh bersandarkan kepada kejayaan masa lampau, sebaliknya mesti berani mengorak langkah dan membuat perubahan supaya sentiasa relevan, dinamik serta segar.
Dengan kata lain, cara lama menyampaikan maklumat kepada rakyat umpamanya ceramah atau forum bukan lagi cara terpenting dan berkesan. Pemimpin UMNO perlu mengikut aliran baru menyampaikan maklumat dan yang ketinggalan dalam media baru ini, mereka adalah kumpulan yang 'kerugian'.
Hakikatnya, BN tidak mungkin berjaya kalau rakyat tidak sokong, kalau rakyat terpesong, kalau rakyat dikelirukan, kalau rakyat percayai fitnah, kepalsuan serta separuh kebenaran.
Kerana itu, Perdana Menteri semalam melahirkan sokongan padu kepada pemblog-pemblog dan pengguna media sosial pro-Barisan Nasional dengan menyifatkan mereka sebagai “askar baru” perikatan tersebut melawan pembangkang.
Menurut beliau, kebanyakannya pemblog pro-BN bahawa mereka perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia atas talian tentang usaha-usaha diambil kerajaan dan kejayaannya, serta melawan kenyataan-kenyataan pembangkang yang bersifat bohong dan separuh benar.
Sesungguhnya, peranan penggiat media sosial dan pejuang alam maya ini, termasuk di Terengganu ini adalah bala tentera media sosial Barisan Nasional yang akan turun padang dengan mengeluarkan iPad, Blackberry, iPhone dan komputer riba masing-masing, untuk memperkatakan yangh benar dan menentang sebarang pembohongan, fitnah serta maklumat palsu yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu.
Sebahagian bahan sudah disiarkan melalui Bicara Terengganukita, Trg FM, jam 1.30 tengahri 21 Nov 2010.
Assalamualaikum bro..
ReplyDeleteminta pautan blog gua disini
http://kerispusakabangsa.blogspot.com/
Terima kasih..