Sunday, November 27, 2011

APMM Bantu Polis Cari Mayat Nelayan Dicampak Ke Laut

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan membantu polis mencari mayat seorang nelayan warga Kemboja yang dipercayai mati dibunuh dan dicampakkan ke laut semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Maritim 9, Kuala Terengganu Kept Adam Aziz berkata pihaknya akan meminta bantuan untuk mencari mayat nelayan berkenaan.

"Selain itu kita juga menyediakan kapal untuk operasi mencari," katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan sebelum ini berkata seorang nelayan warga Kemboja mati ditembak dan mayatnya dicampakkan ke tengah laut dalam kejadian pagi semalam.

Katanya kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara nelayan warga Thailand dan Kemboja berkaitan tugas memasak ketika mereka baru saja keluar ke laut untuk menangkap ikan.

Manoharan berkata suspek menggunakan bot itu untuk membawa lapan lagi nelayan Kemboja ke pelabuhan Chendering sebelum dia melarikan diri bersama 21 lagi nelayan Thailand dengan bot yang sama.

Adam berkata apa yang menyulitkan bot APMM untuk menjalankan operasi ialah keadaan laut sekarang bergelora dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

"Kemungkinan kita juga meminta bantuan daripada lain-lain agensi seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam operasi mencari mangsa," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata musim tengkujuh kapal APMM berlindung di pulau-pulau dan pada masa yang sama akan membuat pemantauan harta di pusat peranginan di situ.

Ini kerana ada kes nelayan asing datang ke pulau berkenaan dan mengambil barang-barang yang ada di chalet yang ditinggalkan sepanjang musim tengkujuh, katanya.

No comments:

Post a Comment