Tuesday, November 8, 2011

Bapa Dan Dua Anak Remaja Antara 46 Penagih Dadah Ditahan Dalam Ops Tapis

Seorang bapa dan dua anak lelakinya berumur 15 dan 16 tahun antara 46 penagih dadah yang ditahan polis Besut dalam “Op Tapis” yang diadakan di sekitar daerah itu Khamis lalu.

Tiga beranak itu ditahan ketika mereka sedang khayal kerana mengambil bahan terlarang itu di rumah mereka.

Remaja lelaki berumur 16 tahun juga didapati mempunyai rekod mencuri motosikal, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor.

Dalam operasi itu, polis merampas 9.1 gram ganja dan 0.7 gram heroin daripada penagih yang ditangkap, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara serah dan terima tugas Ketua Siasatan Jenayah (KSJ) Daerah Besut yang baru Khamis lalu.

Menurutnya, operasi seumpama itu yang diadakan secara berterusan diperhebatkan sebagai usaha mencegah aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah berikutan meningkatnya kes pecah rumah dan samun kebelakangan ini.

“Polis akan bekerjasama dengan pelbagai agensi lain termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rela, Jawatankuasa Masjid dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk menangani masalah ini,”

Pada majlis itu, Pemangku Ketua Siasatan Jenayah (KSJ) Daerah, Cif Insp Rozaimi Ibrahim menyerahkan tugas kepada ASP Kasmani Hassan yang mula bertugas sebagai KSJ yang baru di IPD Besut semalam.

Sebelum ini Kasmani bertugas sebagai Ketua Bahagian Narkotik di Balai Polis Batu Pahat, Johor.

No comments:

Post a Comment