Sunday, November 13, 2011

Barisan Nasional Yakin Rampas DUN Bukit Tunggal Daripada PAS - Ahmad Said

"Kalau mereka bagi mandat kepada kita untuk memerintah kembali, insya-Allah kita akan tunaikan janji untuk selesaikan projek-projek di sini termasuklah penambahbaikan masjid sedia ada dan pembinaan kawasan perumahan baharu." - Ahmad Said

Barisan Nasional (BN) yakin mampu merampas kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Said berdasarkan peningkatan sokongan yang diterima daripada penduduk terhadap setiap program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, usaha untuk mengembalikan sokongan penduduk DUN Bukit Tunggal kepada BN bukan sesuatu yang mustahil dan beliau berharap agar usaha itu mendapat sokongan semua pihak.

"Kalau mereka bagi mandat kepada kita untuk memerintah kembali, insya-Allah kita akan tunaikan janji untuk selesaikan projek-projek di sini termasuklah penambahbaikan masjid sedia ada dan pembinaan kawasan perumahan baharu.

"Dalam hal ini, kita kena ada prinsip give and take sebab itu kita pilih untuk tunggu sampai waktu pilihan raya dulu. Kalau tak, kita beri, mereka ambil tapi mereka tak sokong kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Masjid Bukit Tumbuh semalam.

Perjumpaan itu merupakan sebahagian daripada program rangka kerja sehari beliau ke DUN Bukit Tunggal bagi menemui penduduk di situ.

DUN Bukit Tunggal ketika ini diwakili oleh ADUN Pas, Dr. Alias Razak sejak PRU yang lalu dan kawasan itu disifatkan antara kawasan panas kerana sering bertukar-tukar tampuk pemerintahan sejak tahun 1990.

No comments:

Post a Comment