Friday, November 18, 2011

Dua Pelatih Kebas Wang Pemilik Bilik Sewa RM47,000

Dua pelatih sebuah institut kemahiran di Pahang yang sedang menjalani latihan industri di sebuah kilang sawit di daerah ini, tergamak mengkhianati seorang lelaki yang juga pemilik bilik yang disewa mereka apabila mengebas wang berjumlah RM47,090.52 dari akaun milik mangsa.

Kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya dicekup di kawasan Medan Selera Bandar Cheneh Baru, Kilometer 155 Jalan Jerangau – Jabor, dekat Kemaman, petang kelmarin.

Kedua-dua suspek berumur 21 dan 20 tahun masing-masing berasal dari Besut dan Kuala Terengganu dan mula menyewa sebuah bilik di rumah mangsa yang berusia 50 tahun sejak Julai lalu kerana menjalani praktikal di Kilang Bukit Bandi.

Susulan tangkapan yang dilakukan kira-kira jam 2.40 petang itu, polis turut merampas pelbagai barangan berjenama termasuk gajet, kesemuanya dianggarkan bernilai RM17,000 yang dipercayai dibeli menggunakan wang dikeluarkan dari akaun mangsa yang tinggal di Bandar Cheneh Baru dan bekerja di sebuah kilang sawit di Cerul.

Polis turut menemui sebanyak 79 biji pil kuda yang dipercayai milik suspek berusia 21 tahun, yang turut positif dadah hasil ujian urin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, ketika ditahan kedua-dua suspek baru sahaja mahu beredar dari kawasan medan selera dan hasil pemeriksaan, polis menemui sepasang kasut di dalam kereta yang dinaiki mereka sebelum menemui pelbagai lagi barangan berjenama, gajet serta pil kuda dalam bilik sewa yang dihuni kedua-dua suspek.

Menurutnya, barang-barang berjenama dan gajet seperti tiga helai seluar berjenama levis’s, dua pasang kasut jenama Red Wing dan Oscar, jam tangan, tali pinggang, komputer riba, Samsung Galaxy Tab dan Samsung Galaxy S serta seunit telefon bimbit dipercayai dibeli menggunakan wang milik mangsa yang berstatus duda.

Katanya, kedua-dua suspek ‘kantoi’ apabila perbuatan mereka yang mengeluarkan duit dari dalam akaun mangsa menerusi kad ATM yang dicuri dapat dikesan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah bank di Bandar Cheneh Baru.

“Mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan kad ATM miliknya pada 8 November lalu, dan kali terakhir dia membuat pengeluaran ialah pada 7 September lalu serta kehilangan kad itu tidak disedarinya.

“Jadi hasil semakan yang dibuat dalam tempoh hampir tiga bulan itu didapati terdapat transaksi keluar wang secara berperingkat berjumlah RM47,090.52,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan sema­kan penyata bank, pengeluaran berperingkat itu dilakukan bermula 18 September hingga 6 November lalu dengan jumlah purata yang dikeluarkan setiap hari berjumlah RM2,000.

Hasil tangkapan itu polis turut menemui kad ATM milik mangsa di dalam dompet suspek berusia 21 tahun, selain tunai berjumlah RM430.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 atas kesalahan capaian tanpa kuasa dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM150,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Katanya, untuk kesalahan dadah, suspek berumur 21 tahun turut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

“Pemilik kad ATM dinasihatkan tidak menggunakan gabungan nombor kad pengenalan ataupun nombor telefon sebagai nombor pin atau mendedahkan nombor pin kad mereka kepada sesiapa,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment