Friday, November 18, 2011

Pemegang Permit Tanah Lombong Diwajibkan Bayar Deposit Bagi Pemulihan Tanah

Pemegang permit bagi pemindahan bahan batuan akan dikenakan bayaran deposit bagi tujuan kerja-kerja pemulihan tanah selepas aktiviti pemindahan bahan batuan dijalankan.

Ketetapan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-67 yang dipengerusikan beliau di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, semalam.

Mesyuarat majlis tersebut dihadiri 74 anggota iaitu Menteri Besar, termasuk Menteri Besar terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Menteri serta beberapa menteri berkaitan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata deposit itu akan dikutip oleh pentadbir tanah dan dimasukkan ke dalam satu tabung yang diuruskan Jawatankuasa Teknikal Pemulihan Tanah (JTPT).

Kerja-kerja pemulihan tanah dan kawasan yang telah dilombong pula hendaklah dilaksanakan sendiri oleh pemilik-pemilik permit mengikut standard yang ditetapkan JTPT.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas mesyuarat tersebut, pada masa ini disebabkan bayaran deposit seperti yang diperuntukan mengikut Seksyen 74(b) Kanun Tanah Negara tidak dikuatkuasakan, pemilik permit lari daripada tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan terhadap kawasan-kawasan yang telah dilombong.

"Jika kerja-kerja pemulihan tidak dilaksanakan sebaliknya JTPT akan memastikan bahawa deposit itu dilucut-hak dan digunakan pihak berkuasa negeri (PBN) untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan yang sepatutnya," menurut kenyataan itu.

Skop kerja JTPT dalam mentadbir wang deposit itu antaranya merangkumi tugas dan tanggungjawab meluluskan Pelan Pemulihan, menyimpan akaun dan rekod berkenaan dengan pengendalian wang deposit.

Ia juga akan menentukan cara bayaran dipungut, menyimpan rekod pemegang permit yang tidak membuat bayaran dan memantau serta memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan kawasan pengorekan.

JTPT akan dipengerusikan Pengarah Tanah dan Galian negeri dan dianggotai oleh lima orang termasuk Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri, Yang di-Pertua Majlis Kerajaan Tempatan, Pentadbir Tanah Daerah, Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Mesyuarat dua jam itu juga bersetuju supaya pemegang lesen pemilik turut mencarum wang pemulihan ke dalam Kumpulan Wang Pemulihan Bersama.

Buat masa ini mereka tidak diwajibkan berbuat demikian walaupun pengusaha-pengusaha lombong yang diberikan pajakan melombong atas tanah kerajaan dan tanah rizab diwajibkan berbuat demikian mengikut Enakmen Mineral Negeri (EMN).

Mesyuarat itu juga bersetuju supaya EMN dipinda bagi mewajibkan pemegang lesen pemilik turut membuat caruman kepada kumpulan wang itu.

No comments:

Post a Comment