Wednesday, November 23, 2011

Dua Penunggang Motosikal Maut Selepas Langgar Kenderaan Buat Pusingan U

Dua penunggang motosikal maut selepas melanggar kenderaan yang membuat pusingan U di garisan berkembar dalam dua kemalangan berasingan petang semalam.

Kedua-dua nahas berlaku dalam tempoh sejam di Jalan Kuantan-Kemamam, dekat Kuantan.

Insiden pertama di Kilometer 28.5 menyebabkan seorang pelajar kolej swasta Amir Edzad Abdul Jalil, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Pegawai Penguatkuasa Pentadbiran Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian 2 petang itu, sebuah kereta dari arah Kemaman menuju ke Kuantan dipercayai membuat pusingan U sebelum dilanggar mangsa yang datang dari arah Kemaman.

"Mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat," katanya semalam.

Dalam insiden kedua di Kilometer 43, Zul Idham Zainal, 19, dari Taman Geliga, Cukai, Terengganu terbunuh selepas merempuh sebuah lori yang membuat pusingan U.

"Kejadian 3 petang itu dipercayai berlaku apabila lori terbabit, yang datang dari arah Kemaman menuju ke Kuantan, telah membuat pusingan 'U' di garisan berkembar telah dilanggar mangsa," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment