Ramai pengguna terutamanya suri rumah terkejut mendapati harga kelapa meningkat antara RM2.50 hingga RM3 sebiji dan beberapa penjual berkata kenaikan itu kerana bekalan yang berkurangan.
Menurut mereka, harga kelapa mula meningkat sejak beberapa hari lalu dan santan segar pula dijual dengan harga RM9 satu kilogram.
Yusof Abdullah, 43 peniaga kedai runcit di sini berkata sebelum ini kelapa dijual antara RM1.20 dan RM2 sebiji, bergantung pada saiz dan dia terpaksa menjual dengan harga tinggi daripada biasa kerana kurang mendapat bekalan.
"Pembekal juga menjual dengan harga lebih tinggi berbanding kebiasaan," katanya.
Sementara itu, penjual nasi dagang Fatimah Awang, 46, berkata harga nasi dagang sekarang dijual RM2.50 sebungkus kerana kenaikan harga bahan asas termasuk kelapa.
"Sekarang susah hendak cari nasi dagang dengan harga lebih rendah seperti dahulu terutama di bandar ini," katanya.
Katanya, kenaikan harga kelapa itu bukan sahaja melibatkan peniaga nasi dagang tetapi juga peniaga makanan yang lain.
Pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu ketika dihubungi berkata ia akan menyiasat kenaikan harga kelapa, sementara pengarahnya Hasan Jusoh meminta pemborong kelapa menghubungi bahagian operasi Fama untuk mendapatkan bekalan jika perlu.
Beliau berkata Fama akan berusaha mendapatkan bekalan kelapa tempatan dan import dalam mengatasi masalah kekurangan bekalan di negeri ini.
No comments:
Post a Comment