Monday, November 14, 2011

Hepatitis A - Penduduk Hulu Terengganu Dinasihat Elak Minum Air Sungai, Air Bukit

Analisis Hambali Abdul Latiff

Kejadian lebih 30 orang termasuk lapan kanak-kanak dari Kampung Basong dan Kampung Pasir Dula di Hulu Terengganu dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) kerana disyaki dijangkiti virus Hepatitis A, perlu diberi perhatian serius, khususnya orang ramai.

Kejadian terbaru ini tidak asing di Hulu Terengganu kerana sebelum ini penduduk di Kampung Sungai Berua, turut diserang wabak itu, September lepas.

Kesemua mangsa jangkitan itu terbabit dimasukkan ke hospital itu sejak tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha secara beperingkat-peringkat hingga beberapa kes terbaru dikesan semalam.

Pihak hospital Hulu Terengganu ketika ini sedang menjalankan pemeriksaan terperinci bagi mengenal pasti jenis penyakit sebenar yang dihadapi kesemua mangsa.

Ketika ini, kesemua mangsa yang sedang dirawat itu disyaki terkena virus Hepatitis A berdasarkan simptom yang dialami seperti mata kuning, demam, sakit kepala dan cirit birit.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Anuwa Sulaiman menafikan mereka mengidap virus air kencing tikus atau Leptospirosis.

Kesemua mangsa yang dirawat itu berusia antara dua tahun hingga lingkungan 50-an dan keadaan mereka dilaporkan setabil. Lima orang mangsa dari dua kampung berkenaan dirawat hanya sebagai pesakit luar.

Apa kalangan mereka yang dirawat adalah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nor Ain Nabila Rashid, 17, yang terpaksa memulakan peperiksaan SPM hari ini di wad Hospital Hulu Terengganu.

Turut menerima nasib yang sama dalam kejadian melibatkan penduduk di Kampung Basung dan Pasir Dula itu ialah tiga orang adik Nor Ain Nabila berusia tiga hingga 11 tahun.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Telemong, Rozi Mamat, yang melawat mangsa di hospital berkenaan semalam mengharap Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan segera bagi mengesan punca sebenar wabak itu.

Rozi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, berkata beliau difahamkan kejadian itu berpunca dari penggunaan air yang tidak bersih.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang turut melawat mangsa di hospital Hulu Terengganu semalam menasihatkan penduduk di negeri ini, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai, tidak menggunakan air sungai dan bukit untuk kegunaan harian.

Ini kerana dibimbangisumber air berkenaan tercemar dengan virus yang menyebabkan penyakit Hepatitis A.

Menurut maklumat yang beliau terima, sehingga ini Jabatan Kesihatan Negeri mengenal pasti air sungai di empat buah kampung di daerah Hulu Terengganu telah tercemar dengan virus yang menyebabkan penyakit berkenaan.

Kata beliau, Jabatan kesihatan Negeri memantau perkembangan penyakit tersebut secara lebih serius bagi mengelakkan ia menular ke kawasan lain.

Kita harapkan seluruh penduduk mendengar nasihat Menteri Besar dan Jabatan Kesihatan Negeri, khususnya penduduk kampung hendaklah menggunakan air paip yang dibekalkan oleh SATU kerana ia lebih selamat berbanding menggunakan air sungai dan air bukit.

Selain itu, orang ramai juga perlu mendapatkan rawatan segera di hospital jika mereka mengalami demam panas, muntah-muntah dan tidak ada selera makan.

Kita juga berharap semua mangsa mendapat rawatan sewajarnya dan menerima rawatan lanjut daripada pihak hospital, walaupun kesemua mereka berada dalam keadaan stabil.

Bagi penduduk di empat buah kampung iaitu Sungai Berua, Padang Setebu, Basung dan Pasir Dula di mana sebahagian penduduk, terutama Orang Asli di Sungai Berua, sewajarnya mereka perlu menghentikan menggunakan air sungai bagi kegunaan harian bagi mengelakkan dijangkiti virus Hepatitis A ini.

Nota - sebahagian besar bahan disiarkan melalui Bicara TerengganuKita (Trg FM) hari ini.

No comments:

Post a Comment