Keadaan kereta dinaiki tiga remaja yang maut selepas bertembung dengan lori balak (belakang) dalam nahas ngeri di Kilometer 47, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran Wakaf Linchong, Pasir Puteh, semalam.
Seorang bapa, Mohd. Hazli Ahmad Abidin, 43, tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang menjadi pendiam dan tidak menegurnya sejak lima hari lalu menjadi petanda bahawa ajalnya sudah tiba.
Anak sulungnya itu, Mohd. Shahrul Azwan, 21, terbunuh dalam kemalangan kira-kira pukul 4.30 pagi ini, selepas kereta Proton Wira yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori balak di Kilometer 47, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran Kampung Wakaf Linchong, di sini.
Kemalangan ngeri yang berlaku di kawasan selekoh itu turut meragut nyawa dua rakan mangsa iaitu Mohd. Adli Ariffin, 21, dan Mohd. Shahrol Syazwan Mohd. Rosli, 23. Ketiga-tiga mangsa berasal dari Terengganu.
Mohd. Hazli ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tengku Anis di sini berkata, anaknya yang bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur sebelum ini sangat mesra dengannya namun sejak lima hari lalu sikap anaknya berubah.
"Sejak lima hari lalu, dia tidak lagi menegur saya walaupun kami tinggal serumah. Saya sangat terkejut apabila seorang kawannya menghubungi saya pukul 7 pagi tadi memaklumkan anak saya terlibat kemalangan," katanya.
Menurutnya, arwah keluar dari rumah untuk berjumpa dua rakan karibnya kira-kira pukul 12 tengah malam namun dia tidak tahu di mana mereka bertemu.
Beberapa ahli keluarga ketiga-tiga mangsa yang datang dari Terengganu tiba di hospital sejak pukul 11 pagi ini dan jenazah kesemua mereka dibawa balik ke rumah masing-masing untuk urusan pengkebumian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari arah Terengganu menghala ke Pasir Puteh, manakala lori tersebut datang dari arah bertentangan.
"Kereta tersebut dipercayai dipandu laju menyebabkan ia hilang kawalan di sebuah selekoh lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori balak itu.
"Kesemua mangsa maut di tempat kejadian. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelas beliau.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment