Pelayar Britain, Ian Williams dari pasukan GAC Pindar merangkul kejuaraan Siri Akhir Jelajah Dunia (WMRT) setelah menewaskan saingan terdekat Francesco Bruni di persaingan suku akhir, semalam.
Kejuaraan yang disahkan menerusi Piala Monsun siri terakhir WMRT, merupakan yang ketiga buat Williams yang pernah memenangi kejuaraan lumba kapal layar paling berprestij itu pada tahun 2007 dan 2008.
Pasukan GAC Pindar dianggotai Gerry Mitchell, Mal Parker, Bill Hardesty dan Matt Cassidy, menang dengan kiraan mata 3-2 ke atas Bruni (Bruni Racing).
Sebelum ini, Ben Ainslie, juga pelayar dari Britain mengungguli kejohanan pada 2010.
Bercakap dalam sidang akhbar kemudian, Williams yang jelas tidak dapat menahan kegembiraan berterima kasih kepada anggota pasukan yang menunjukkan kerjasama dan iltizam tinggi sehingga berjaya merangkul kejuaraan buat kali ke tiga.
Bruni, pelayar dari Itali menyifatkan Williams saingan yang sukar untuk ditewaskan walaupun pasukannya cuba bangkit di pusingan ketiga setelah tertinggal dua pusingan awal.
Namun Williams kental mempamerkan semangat tinggi untuk memenangi pusingan keempat yang melayakkan Pasukan GAC Pindar melangkah ke separuh akhir.
"Musim ini kami bermula baik, namun tewas ketika begitu hampir dengan kejuaraan, yang amat mengecewakan," katanya yang sebelum ini menyimpan hasrat menjadi pasukan pertama dari Itali bergelar juara dunia.
Selain Williams, tiga lagi pasukan berjaya ke separuh akhir, iaitu Datuk Peter Gilmour dari Yanmar Racing, Johnie Berntsson (Pasukan Berntsson Sailing) dan Jesper Radich (Adrian Lee & Parters).
Gilmour, yang menentang Phil Robertson dari Pasukan WAKA Racing, mengumpul mata 3-2.
Juara AMRC, William Tiller yang mengungguli hari kedua dan ketiga kejohanan, akhirnya kecundang di tangan Berntsson dengan mata 3-2.
Sementara itu, Radich yang menentang Bjorn Hansen pula menewaskan Hansen dengan mata 3-1.
Pada pusingan separuh akhir berlangsung petang ini, juara dunia empat kali (1990, 1997, 1998 dan 2006), Gilmour tewas di tangan Berntsson dengan mata 3-2.
Manakala saingan separuh akhir di antara Radich dengan Williams bersambung hari ini.
Dua pelayar masih berpeluang merebut Piala Monsun edisi ketujuh, iaitu Radich dan Williams sementara Berntsson telah pun mengesahkan tempat untuk bersaing merangkul Piala Monsun.
No comments:
Post a Comment