Thursday, November 24, 2011

Kerajaan Terengganu Jamin Bekalan Mangsa Banjir Mencukupi

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan penduduk yang terlibat dengan banjir supaya segera berpindah bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Beliau juga meminta penduduk supaya menjaga keselamatan diri dan anak-anak mereka serta menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

Dilaporkan terdapat penduduk yang enggan berpindah walaupun diminta berbuat demikian.

Tiga daerah iaitu Setiu, Besut dan Hulu Terengganu telah dinaiki air dan ratusan orang telah berpindah.

Sementara itu, Kerajaan Terengganu memberi jaminan bekalan makanan dan barangan keperluan untuk mangsa banjir yang berpindah ke pusat-pusat pemindahan di negeri ini mencukupi.

Ahmad Said berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri mengagihkan bekalan ke pusat-pusat pemindahan dengan segera.

"Kita sudah bersedia menghadapi banjir kerana ini bukan kali pertama kita menghadapi musim tengkujuh, malah setiap tahun.

"JKM telah memperuntukkan RM1.1 juta bagi menyediakan keperluan makanan seperti sardin, minyak masak, gula, susu bayi, selimut dan lain-lain untuk diagihkan kepada mangsa di pusat pemindahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat pusat-pusat pemindahan banjir di daerah Setiu di semalam.

Daerah Setiu adalah antara tiga daerah yang paling teruk dilanda banjir dan sehingga pukul 3 petang ini seramai 939 mangsa dari 243 keluarga dipindahkan ke 15 pusat pemindahan manakala Besut melibatkan 164 mangsa dan Hulu Terengganu 70 orang.

Ahmad berkata bagi mereka yang kehilangan harta benda akibat banjir, mereka hendaklah membuat laporan kepada pihak terbabit seperti JKM untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu Menteri Besar berkata beliau dimaklumkan terdapat tiga rumah roboh akibat dipukul ribut manakala sebuah jambatan juga turut roboh dihanyutkan air di daerah ini.

"Sebenarnya Jambatan Cik Mohid di sini yang roboh baru dibina oleh Pejabat Daerah. Cuma kita tidak puas hati kerana aras jambatan yang baru dibina itu juga rendah. Sepatutnya jambatan baru itu hendaklah dibina lebih tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment