Tuesday, November 1, 2011

Irfan Merajuk Atau Benar-Benar Mahu Mencuba Dengan Pasukan Baru?


Yang diramal sudah berlaku.

Kambing hitam pertama adalah jurulatih. Mungkin selepas ini akan ada lagi kambing-kambing hitam lain yang akan jadi korban!

Seolah-olah kekalahan Terengganu kepada Negeri Sembilan kelmarin diakibatkan kelemahan jurulatih – Irfan Bakti dan penjaga gawang, Sharbinee Alawee semata-mata!

Mengejutkan ialah pengumuman mendadak Persatuan Bola Sepak Negeri Terenganu (PBSNT) yang mahu mengambil jurulatih baru walaupun jurulatih berkenaan belum mengesahkan menerima secara rasmi (dibuat hanya secara mulut).

Pengumuman itu dibuat hanya sehari selepas Terengganu kalah dan kebetulan semalam juga Irfan mengatakan beliau tidak mahu menyambung kontraknya.

Jika Irfan sudah membuat keputusan lebih awal, beliau sewajarnya mengumumkan sebaik tamat perlawanan final di Stadium Shah Alam itu.

Namun pada tembual selepas perlawanan itu Irfan jelas tidak menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan Terengganu!

Beliau mempertahankan pasukannya apabila mengatakan dia tidak meletakkan kesalahan di bahu Sharbinee sepenuhnya kerana mereka bermain secara berpasukan dan kerana kelalaian mereka telah dihukum.

Katanya, gol penyamaan Negeri Sembilan itu melemahkan semangat anak didiknya yang hilang rentak permainan dan kerana gol itulah memusnahkan segalanya.

"Kita main berpasukan dan tidak menyalahkan Sharbinee dan saya mengaku kehilangan tonggak pertahanan Mazlizam Mohamad yang tercedera merencatkan sedikit corak permainan semalam," katanya.

Bagaimanapun, jurulatih yang berasal dari Kelantan ini tetap berpuas hati dengan corak persembahan yang dipamerkan namun rezeki tidak memihak kepada mereka semalam.

Jadi apa sebenarnya yang berlaku?

Irfan memikirkan keputusan melepaskan jawatannya beberapa jam sebelum mesyuarat atau memang beliau mendapat tawaran baru?

Tidak adakah usaha untuk memujuknya untuk setahun lagi bersama Terengganu atau memang dia dilihat tidak mampu lagi menaikkan mutu bolasepak Terengganu?

Amat mengejutkan tiba-tiba semalam diumumkan bahawa jurulatih kelab Liga Perdana, Mat Zan Mat Aris (gambar kanan) secara rasmi ditawarkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Terengganu bagi menggantikan Irfan.

Memanglah hak PBSNT untuk melantik atau memecat jurulatih dan pemain tetapi kena tergesa-gesa?

Apakah tiada waktu dalam tempoh sehari dua ini, atau menunggu selepas Hari Raya Haji untuk bermesyuarat?

Terdesak benarkah Terengganu menghadapi saingan untuk musim depan?

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata keputusan itu dibuat setelah Irfan Bakri membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya bersama Terengganu untuk musim akan datang.

Kontrak Ifran Bakri berakhir 31 November ini selepas membimbang skuad Penyu itu selama dua musim.

Che Mat secara berlapit berkata pihak persatuan tiada hasrat untuk membuang jurulatih yang banyak membawa kegemilangan pasukan Terengganu namun keputusan itu telah dibuat oleh jurulatih kelahiran Kelantan itu.

"Pertukaran jurulatih adalah perkara biasa, saya mengakui perkhidmatan yang ditunjukkan jurulatih ini amat membanggakan sehingga mampu muncul juara FA, muncul naib juara Liga Super dan tempat kedua Piala Malaysia, namun keputusan telah dibuat oleh beliau," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata pihaknya telah mendapatkan persetujuan lisan daripada Mat Zan, yang juga jurulatih kelab Pos Malaysia FC, namun butir-butirnya tidak dapat didedahkan kerana ia belum secara rasmi.

Katanya PBSNT akan berbincang dengan Mat Zan dalam masa terdekat untuk mendapatkan jawapan yang pasti.

"Kita telah berhubung dengan Mat Zan mengenai perkara ini dan beliau bersetuju, namun itu hanya melalui lisan belum ada hitam putih," katanya.

Menurut Che Mat, beliau yakin Mat Zan mampu membimbing skuad Terengganu berdasarkan rekod kejayaannya membawa Terengganu muncul juara Piala Malaysia pertama pada tahun 2009.

"Beliau telah diberi mandat untuk memperkemas pasukan kita dan kita yakin beliau mampu melakukan yang terbaik untuk Terengganu," katanya.

Mengulas mengenai siapa barisan pemain yang akan dikekalkan, beliau berkata PBSNT akan mendapat jawapan muktamad daripada semua pemain dalam masa dua minggu lagi.

Katanya setakat ini semua pemain utama tidak akan digugurkan kerana mereka masih ada kontrak bersama persatuan sehingga tahun depan.

Cabaran penting Mat Zan ialah membentuk pasukan yang mantap untuk menghadapi cabaran bermain bagi Piala AFC yang akan bermula pertengahan bulan depan.

Terengganu diberikan peluang bertanding bagi piala berkenaan selepas menjadi Juara Piala FA hasil bimbingan Irfan.

Kita hanya berdoa yang terbaik tetapi jika langkah PBSNT ini silap atau tidak menghala kepada kejayaan, kambing hitam terakhir sewajarnya pengurusan PBSNT itu sendiri.

Adilkan?

No comments:

Post a Comment