Kecederaan yang dialami penyerang Izzaq Faris Ramlan ketika beraksi dalam perebutan ke separuh akhir bertemu Myanmar semalam, memaksa jurulatih skuad bawah-23, Ong Kim Swee tidak menyenaraikannya dalam kesebelasan utama bertemu Indonesia di perlawanan akhir.
"Saya sah tidak boleh bermain kerana lutut kiri saya lebam diasak oleh pemain Myanmar Sabtu.
"Ia memang sesuatu yang menyedihkan buat saya kerana tidak dapat peluang beraksi di perlawanan akhir tapi saya gembira pasukan kita berjaya akhirnya ke saingan itu walaupun kita diletakkan dalam kumpulan A, yang dianggap saingan sukar," katanya ketika ditemui Bernama semasa menyaksikan latihan ringan skuad negara di pekarangan gelanggang tenis di hotel penginapan mereka.
Pemain tinggi lampai ini, yang terpaksa menggunakan kayu tompang, berkata beliau akan turut terlepas peluang beraksi dalam saingan kumpulan kelayakan Sukan Olimpik 2012, London selang dua hari kemudian bertemu Syria.
Malaysia akan bertemu negara teluk itu pada 23 Nov pukul 8.45 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Doktor telah lihat kecederaan saya dan mereka kata kecederaan ini dijangka pulih sebulan ataupun lebih bergantung kepada diri saya," katanya.
Pemain kelahiran Terengganu berusia 21 tahun ini cedera beberapa minit sebelum wisel penamat ditiup selepas dikasari pemain Myanmar semalam, yang menyaksikan Malaysia mara ke perlawanan akhir setelah menang 1-0.
"Apakah daya... tiada rezeki bermain. Saya harap mereka semua dapat buat yang terbaik daripada sebelum ini.
"Kita cuma harapkan Fakri (Ahmad Fakri Saarani) dan Syahrul (Azwari Ibrahim) sahaja di barisan serangan dapat menyumbat unutk gol negara. Itupun jika Syahrul sudah cukup cergas dan dapat diturunkan pada hari esok," katanya. Syahrul terpaksa dikeluarkan kerana cedera sekitar minit ke-70 pada perlawanan semalam setelah dikasari pemain Myanmar.
No comments:
Post a Comment