Prestasi ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan lebih tinggi dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencatat 5.8 peratus berbanding 4.3 peratus pada suku kedua disokong sektor perkhidmatan domestik yang lebih kukuh.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, meskipun suku ketiga tahun ini berdepan persekitaran yang mencabar dengan pasaran kewangan tidak menentu, permintaan dalam negeri yang kukuh dipacu oleh perbelanjaan isu rumah serta sektor awam yang lebih tinggi.
“Perbelanjaan penggunaan sektor swasta meningkat sebanyak 7.3 peratus berbanding 6.4 peratus pada suku kedua seiring dengan pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan, manakala penggunaan awam bertambah 21.7 peratus daripada 6.6 peratus pada suku kedua berikutan perbelanjaan lebih tinggi terhadap emolumen, bekalan dan perkhidmatan serta pembayaran bonus.
“Daripada segi penawaran, kebanyakan sektor ekonomi mencatat pertumbuhan lebih tinggi pada tempoh ini dengan sektor perkilangan mencatat prestasi lebih baik disokong permintaan serantau bagi keluaran berasaskan sumber serta pemulihan daripada gangguan rantaian global berikutan bencana alam di Jepun,” katanya pada sidang media di Bank Negara, semalam.
Zeti berkata, sektor pertanian menunjukkan peningkatan tinggi dengan pertumbuhan sebanyak 8.2 peratus berbanding tiga peratus bagi tempoh sama tahun lalu dan sektor perkhidmatan pula meningkat kepada tujuh peratus pada suku ketiga tahun ini.
“Walaupun persekitaran global mungkin mewujudkan risiko besar terhadap prospek pertumbuhan negara, aktiviti perbelanjaan dan pelaburan sektor awam, selain penggunaan dan pelaburan swasta yang meningkat ia di jangka terus menyokong pertumbuhan negara lebih baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment