Saturday, November 19, 2011

Peluang Cungkil Bakat Terpendam Menerusi Sesi Interaktif

Pengunjung ke Festival Gong Sarawak di Bau akan berpeluang mencungkil bakat terpendam mereka bermain alat-alat muzik tradisional semasa sesi interaktif, dalam acara tiga hari yang bermula semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Sarawak Saini Lihi berkata Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, menerusi JKKN, berharap menarik dapat 6,000 hingga 7,000 pengunjung ke aktiviti kesenian budaya dan warisan, terutamanya persembahan gong.

"Selain daripada sembilan pasukan tempatan dari Sarawak, kami kini bersedia untuk menerima penyertaan dari Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Brunei pada acara sulung ini," katanya di Kuching semalam.

Sambil mengalu-alukan penyertaan serantau dari Brunei, beliau berkata negara berkenaan akan diwakili oleh kumpulan Irama Bahtera dan pengunjung akan turut berpeluang menyaksikan persembahan Rumpun Seni Beaufort (Sabah), Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Sembilan, Kumpulan Gamutra (Terengganu) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Ahli muzik dari pantai timur dijangka menggunakan alat muzik tradisional termasuk rebana ubi, gendang, kertok, gendang Mak Yong, peralatan yang digunakan dalam persembahan wayang kulit dikenali sebagai geduk, gong, serunai dan rebab, yang sebahagian besarnya tidak terdapat di Sarawak.

Saini berkata kumpulan tempatan yang akan membuat persembahan ialah Yayasan Kebudayaan Dayak (Kuching), Kumpulan Bayu Universiti Malaysia Sarawak (Samarahan), Kumpulan Kulintangan (Pakan, Sarikei), Kumpulan Gamelan Sri Arjuna (Siburan), Kumpulan Buduk Gerua (Lawas), Kumpulan Kampung Singai (Bau), Persatuan Budaya Iban Sri Aman (PBISA-Sri Aman) dan Persatuan Li Sheng.

Beliau yakin festival itu, yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara, akan dicatat sebagai acara ikon bagi negeri ini pada masa depan.

Mengenai majlis perasmian Sabtu ini, beliau berkata hadiah cabutan bertuah turut disediakan, antara lain terdiri daripada mesin basuh, peti sejuk, basikal dan periuk nasi, dan pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan pentas oleh kumpulan kugiran tempatan.

Perasmian akan dilakukan oleh Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di venue festival iaitu Kampung Apar di Singai, Bau dekat sini.

Turut dijadual hadir ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang dan Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli.

No comments:

Post a Comment