Thursday, November 17, 2011

Kerajaan Guna Wang Sedia Ada Bayar Bantuan RM100 Kepada Pelajar - Wee

Nornatasya Abdul Gani, 30, (duduk) tersenyum selepas menerima bantuan kewangan RM100 di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor di Georgetown semalam. Pemberian bantuan RM100 ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini yang bakal memberi manfaat kepada 2.9 juta murid sekolah rendah dan 2.4 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Bayaran bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah adalah daripada dana sedia ada Kumpulan Wang Akaun Penyelesaian Utama Perbendaharaan pada 2011, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata kerajaan tidak menggunakan peruntukan belanjawan tahun depan untuk tujuan pengagihan tersebut.

Katanya, Perbendaharaan telah memberi kelulusan kepada Kementerian Pelajaran untuk menggunakan dana kerajaan yang sedia ada.

"Kita menggunakan wang sedia ada (untuk tujuan bantuan) selepas menerima kelulusan daripada Perbendaharaan, bukan guna wang tahun depan. Manusia kena berikhtiar bagaimana nak menyelesaikan masalah.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Akauntan Negara dan Kementerian Kewangan, maka satu persetujuan telah diberi dengan mewujudkan akaun amanah dan menggunakan wang semasa, bukan mendahulukan wang untuk tahun depan," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat semalam.

Terdahulu, beberapa anggota pembangkang mempertikaikan keputusan kerajaan mengagihkan bantuan itu sekarang, dan bukannya tahun depan selepas diluluskan Dewan Rakyat.

Wee berkata pengagihan bantuan dibuat sebelum sesi persekolahan tahun depan bermula bagi membolehkan ibu bapa membuat persediaan awal persekolahan anak mereka.

Dalam pembentangan Belanjawan 2012, kerajaan mengumumkan akan memberi RM100 kepada setiap 5.3 juta pelajar di negara ini tahun depan bagi membantu meringankan beban ibu bapa.

Bantuan kewangan itu mula diagihkan kepada pelajar sekolah sejak minggu lepas.

Beliau berkata kementerian itu tidak membelakangkan Parlimen dalam membuat keputusan tersebut seperti yang didakwa Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) serta M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), dan ia juga tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

"Selepas perbahasan dibuat (Dewan Rakyat) di peringkat dasar pada 1 Nov, Kementerian Pelajaran mengadakan perbincangan mendalam dengan Kementerian Kewangan untuk melihat kemungkinan kita boleh menyalurkan peruntukan kepada setiap pelajar seperti yang telah dijanjikan tanpa mengugat prosiding di Parlimen," katanya.

Wee berkata bantuan itu diberikan kepada semua pelajar, namun pelajar dan ibu bapa mempunyai opsyen sama ada mahu menerima atau tidak bantuan tersebut.

Menjawab soalan Kulasegaran yang lain, Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata keputusan sama ada bantuan tersebut akan diteruskan pada tahun berikutnya bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengkaji sama ada bantuan itu perlu diagihkan mengikut kedudukan kewangan keluarga pelajar.

Mengenai cadangan supaya guru bekerja selama sembilan jam, Wee berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memutuskan isu berkenaan dalam masa terdekat.

Beliau berkata Muhyiddin telah mengadakan sesi penerangan bagi mendengar pendapat semua pihak yang terlibat dengan perkara ini.

"Sudah tentu Timbalan Perdana Menteri mengharapkan satu keputusan yang terbaik untuk semua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wee berkata Kementerian Pelajaran sedang menunggu laporan siasatan Kementerian Kesihatan mengenai kes keracunan susu di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang, yang menyebabkan lapan pelajar dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata kementerian akan akur dengan keputusan laporan tersebut dan menghentikan program berkenaan jika terbukti susu program itu menyebabkan keracunan.

No comments:

Post a Comment