Thursday, November 24, 2011

Kerajaan Sedia RM10 Juta Bina Kem Pengakap

Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan kira-kira RM10 juta bagi menyiapkan dan menyediakan kemudahan Kem Pengakap Tengku Muhamad Ismail di Telaga Batin di Kuala Terengganu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata pelbagai kemudahan disediakan di kem itu untuk program pengakap yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

"Kita akan lihat kemudahan-kemudahan lain yang perlu ditambah dari semasa ke semasa bagi keselesaan pengakap mengadakan perhimpunan di kem itu," katanya pada majlis Jamuan Negeri sempena Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Jambori itu yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Jumaat lepas, menyaksikan 21 buah negara mengambil bahagian melibatkan 10,800 peserta.

Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Telaga Batin itu memiliki kemudahan lengkap dan terbaik dengan 65 buah bilik biasa dan 24 bilik tetamu kehormat serta mempunyai kawasan lapang untuk perkhemahan.

Sementara itu Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Negeri Terengganu Tengku Ahmad Shabirin Awalludin ketika ditemui pada majlis itu berkata syarikat pengedar kenderaan mewah BMW, Quil Automobiles Sdn Bhd telah menaja 60 buah kereta BMW serta wang tunai RM50,000 untuk jambori itu.

Katanya Kementerian Kewangan Malaysia telah meluluskan penajaan kereta berkenaan pada 16 Nov lepas untuk digunakan sepanjang jambori itu berlangsung.

Tengku Ahmad Shabirin berkata sebuah lagi syarikat iaitu Nexedge Technology Sdn Bhd pengedar rasmi perlatan telekomunikasi jenama Kenwood telah menyumbangkan peralatan Radio Telekomunikasi Kenwood bernilai RM50,000.

Beliau berkata semua sumbangan telah disampaikan kepada Ahmad untuk kegunaan penganjuran jambori yang bermula pada 17 Nov hingga Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment