Thursday, November 24, 2011

Malaysia Airports Peruntuk RM600,000 Setiap Tahun Untuk Sekolah Angkat

Malaysia Airports memperuntukkan RM600,000 setiap tahun bagi menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya termasuk menganjurkan Beyond Borders Regional Awards di sekolah angkatnya.

Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Dr Aris Othman berkata program itu bermatlamat membantu pelajar kurang berkemampuan memperbaiki standard akademik mereka terutama dalam kecekapan berbahasa Inggeris dan memajukan lagi kemahiran menulis dalam bahasa itu.

"Paling penting, kami mahu menggalakkan semua guru dan pelajar agar terus meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka dan menyanjungi kepentingan pendidikan sebagai satu budaya.

"Kami percaya pemberian ganjaran adalah kaedah terbaik untuk memotivasikan mereka, justeru, anugerah ini dianjurkan," katanya pada majlis pelancaran Beyond Borders Regional Awards 2011 Seksyen Timur di Sekolah Kebangsaan (SK) Mengabang Telipot di Kuala Terengganu, semalam

Beliau berkata setiap tahun, pelbagai aktiviti dan program seperti bengkel guru, bengkel penulisan kreatif Bahasa Inggeris, tuisyen intensif untuk pelajar Tahun Lima bagi mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains, klinik UPSR serta ceramah motivasi diadakan di sekolah angkat di semua negeri kecuali Johor dan Perlis.

"Malaysia Airports memperkenalkan Beyond Borders Award untuk menjadikan program pembelajaran di sekolah angkat kami lebih proaktif dan inovatif," kata Dr Aris.

Empat sekolah angkat yang bertanding di seksyen timur ialah SK Mengabang Telipot (Terengganu), SK Batu Tiga (Pahang), SK Parang Puting (Kelantan) dan SK Wakuba (Sabah).

Bagi kawasan utara, anugerah itu diadakan pada 13 Nov di SK Sungai Batu, Pulau Pinang manakala kawasan tengah pula di SK Labu, Negeri Sembilan pada 20 Nov.

No comments:

Post a Comment