Kerajaan menimbang untuk menyambung kontrak kejohanan Piala Monsun di Terengganu yang akan berakhir pada 2012.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya masih meneliti permohonan penganjur kejohanan kapal layar berprestij itu, yang bermula sejak 2005.
"Sememangnya kita berbangga dan menyokong jika sukan kapal layar Piala Monsun terus diadakan di Terengganu kerana ia dapat meningkat martabat sukan yang bertaraf antarabangsa itu," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.
Beliau sebelum itu merasmikan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2011, yang berakhir 27 Nov ini.
Ahmad Shabery berkata Terengganu mempunyai fasiliti lengkap bagi acara perlumbaan kapal layar itu, bagaimanapun, ada beberapa negeri lain yang berminat menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa tersebut.
"Ini kerana penganjuran seumpama ini mampu memberi keuntungan yang besar dengan mendapat liputan yang meluas dari media tempatan dan antarabangsa.
"Semua media tertumpu pada acara kemuncak di Pulau Duyong ini, dan berita sukan ini dapat disiarkan di negara luar dan ia memberi bonus kepada Terengganu untuk mempromosikan negeri ini kepada negara lain," katanya.
Kejohanan kali ini menyaksikan penyertaan 12 pelayar dari lapan negara yang akan berentap pada kejohanan akhir siri jelajah WMRT.
Pada saingan Piala Monsun kelak, Malaysia akan diwakili Jeremy Koo dari pasukan Abdullah Chan/KRT, yang sebelum ini mengekalkan kejuaraan Match Racing Malaysia (MMRC) 2011.
No comments:
Post a Comment