Hiap Teck Venture Bhd (HTVB) dan Shougang Group dari China akan membina secara usaha sama sebuah kilang keluli bersepadu membabitkan pelaburan RM1.8 bilion di Taman Perindustrian Berat Kemaman di Zon Ekonomi Khas, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Terengganu.
Projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat oleh Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB), dengan pembangunan fasa pertamanya dijadualkan bermula bulan depan.
Pengarah Eksekutif HTVB, Low Choong Sing berkata, usaha sama pertama antara HTVB dan Shougang itu adalah kesinambungan kepada hubungan erat antara Malaysia dan China yang sudah terjalin sekian lama, ditambah oleh potensi ECER sebagai sebuah lokasi perniagaan yang strategik.
Taman Perindustrian Berat itu katanya menjadi pilihan berikutan ia menumpu kepada industri berat, khususnya yang berasaskan besi, keluli, industri mekanikal, elektrik dan industri petrokimia, serta aktiviti hiliran lain, di samping dihubungkan dengan pelabuhan.
Low berkata, pembangunan fasa pertama kilang itu bakal membabitkan kos RM750 juta yang akan dibiayai secara bersama oleh kedua-dua pihak.
“Sebelum ini HTVB hanya menumpukan kepada perniagaan di dalam negara, khususnya di Meru, Klang berikutan permintaan tinggi terhadap paip besi.
“Ini adalah kali pertama kami menjalinkan kerjasama dengan syarikat asing dan persetujuan Shougang untuk projek ini menandakan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap potensi pelaburan di Malaysia,” katanya.
Shougang ialah pengeluar keluli utama di China dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 30 juta tan dan pendapatan tahunan sekitar AS$30 bilion.
“Dengan reputasi itu, ia adalah satu penghormatan untuk HTVB kerana mendapat peluang bekerjasama dengan Shougang, khususnya dari aspek teknikal dan kemahiran,” katanya.
Low menjelaskan, pembangunan fasa kedua kilang seluas 480 hektar itu pula akan membabitkan pelaburan berjumlah RM1.05 bilion dan ia dijangka bakal meningkatkan kapasiti pengeluarannya sehingga 1.5 juta tan setahun.
“Kilang ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2013,” katanya.
Low menjelaskan, pembinaan kilang itu dijangka menyediakan sehingga 3,000 peluang pekerjaan baru kepada penduduk sekitar.
“Kilang itu nanti adalah sangat besar, dan sudah pasti kami memerlukan tenaga kerja yang lebih ramai. Untuk permulaan, seperti yang dirancangkan aspek teknikal akan diterajui pekerja mahir dari Shougang, yang akan melatih pekerja tempatan,” katanya.
Difahamkan majlis pecah tanah kilang itu dijangka disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada 5 Disember ini.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment