Usahawan di Terengganu kini mendapat kemudahan pinjaman melalui dana Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang berjumlah RM11 juta pada tahun 2012 dan RM10 juta pada 2013.
Menurut SME Bank dalam kenyataannya di Kuala Lumpur berkata, kemudahan yang disediakan itu membolehkan usahawan di negeri tersebut membangunkan rangkaian kedai flagship seperti T-Shoppe, T-Craft, T-Café, T-Lodge serta T-Hardware.
Rangkaian kedai flagship ini dijenamakan dengan menggunakan huruf "T" sebagai simbol kepada "Terengganu" dalam usaha menggalakkan perkembangan usahawan di negeri tersebut.
''Ini berikutan dengan termeterai memorandum persefahaman (MoU) membabitkan SME Bank dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) pada 9 November lalu,'' kata SME Bank.
Katanya, MoU itu bertujuan untuk membangunkan ekonomi Terengganu melalui bidang keusahawanan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk Terengganu.
''Program ini dijangka akan membuka peluang baru untuk usahawan bumiputera Terengganu mengorak langkah ke arah memperkembangkan perniagaan mereka,'' jelas bank tersebut.
MoU tersebut dimeterai di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan & Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera dan Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yusuf.
SME Bank diwakili Pengarah Pengurusan Pemegang Kepentingan, Asbullah Adnan dan Pengarah Perbankan Enterpris, Kamaluddin Ismail manakala YPUT diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik dan Timbalannya, Abdul Razak Sulaiman.
T-Shoppe yang kini sedang berkembang di Terengganu bakal menjadi saluran bagi memasarkan produk 1Malaysia.
T-Lodge pula bakal dimajukan sejajar dengan pembukaan Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai dalam jangka masa terdekat, bertujuan menampung pertambahan bilangan pelancong ke Tasik Kenyir khasnya dan Terengganu amnya.
SME Bank telah diwujudkan oleh Kerajaan bertujuan membimbing dan membangunkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.
Dalam tempoh Januari 2011 sehingga September 2011, SME Bank telah meluluskan 997 permohonan untuk mendapatkan pembiayaan dari pelbagai lapisan masyarakat dan sektor industri
No comments:
Post a Comment