Friday, November 11, 2011

Kontraktor Didakwa Tipu Ahli Perniagaan RM426,740

Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam kelmarin, atas tuduhan memperdayakan seorang ahli perniagaan untuk menyerahkan wang tunai RM426,740 bagi mendapatkan dua kawasan konsesi pembalakan di Terengganu, lapan tahun lalu.

Choong Soon Sing, 46, dari Seremban, Negeri Sembilan, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Choong didakwa menipu Leong Sow Lai, 40, untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan kawasan konsesi pembalakan di Gapi, Bukit Paun, Terengganu seluas 12 hektar, dan kawasan konsesi pembalakan di Hulu Berang, Terengganu seluas 60 hektar sehingga mendorong Leong untuk menyerahkan RM426,740 kepadanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Wai Weng Enterprise, Lot No:996, Batu 22, Jalan Beranang, Semenyih, Hulu Langat dekat sini, antara 31 Mac 2003 dan 6 Oktober 2003.

Choong didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Aslam membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan supaya pasport tertuduh ditahan di mahkamah sehingga kes itu selesai. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abd Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment