Najib bersalam dengan sebahagian daripada ahli Mubarak pada majlis di Seri Perdana, Putrajaya semalam.
Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan had umur atau berapa kali individu itu pernah menjadi wakil rakyat asalkan calon itu boleh membawa kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sambil mengakui pilihan raya umum akan datang sebagai sengit, Perdana Menteri berkata, apa yang penting individu berkenaan adalah calon terbaik untuk BN.
"Calon boleh menang ini boleh merangkumi semua, tidak kira muda atau tua, tidak ada had umur, tidak ada had berapa kali menjadi wakil rakyat. Kesimpulannya, calon boleh menang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis bersama ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Seri Perdana di Putrajaya, semalam.
Turut hadir Presiden Mubarak, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman dan Ketua Penerangan Mubarak, Datuk Abdul Rahman Sulaiman.
Najib berkata, beliau memerlukan semua tenaga yang ada dan ia merupakan gandingan antara yang baharu dan lama bagi sama-sama bergabung tenaga untuk berjuang pada pilihan raya nanti.
Katanya, yang penting sekali adalah mendokong calon boleh menang yang ditentukan oleh parti kerana pilihan raya umum akan datang dianggap sebagai sengit.
Sehubungan itu, katanya, beliau amat mengalu-alukan peranan Mubarak bagi menguatkan kepimpinan parti berikutan perubahan landskap sosial politik pada masa ini yang berlaku dengan pantas.
No comments:
Post a Comment