Tuesday, November 15, 2011

MAS Jadi Syarikat Penerbangan Rasmi Piala Monsun 2011

Malaysia Airlines (MAS) merupakan syarikat penerbangan rasmi bagi Piala Monsun, acara kemuncak berprestij Siri Jelajah Match Racing Dunia (WMRT) yang akan diadakan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu.

Acara berkenaan dijadualkan berlangsung mulai 22 hingga 27 Nov ini.

Naib Presiden Kanan Jabatan Jualan Malaysia MAS, Azman Ahmad berkata adalah satu penghormatan bagi MAS untuk dikaitkan dengan Piala Monsun, regata pelayaran antarabangsa yang menarik pelayar-pelayar terbaik dari seluruh dunia.

"Saya pasti acara tahun ini akan lebih menarik dari tahun lepas dan kita boleh mengharapkan satu lagi perlumbaan yang mendebarkan sehingga ke penamat. Kami gembira menjadi sebahagian daripada kerjasama dan perkongsian strategik ini dengan T-Best Events, penganjur Piala Monsun.

"Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan inisiatif ini untuk memastikan peningkatan jenama kami dalam pasaran perjalanan udara korporat," katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata penajaan berkenaan juga merupakan sumbangan syarikat ke arah projek permulaan Program Transformasi Ekonomi Kerajaan untuk sektor pelancongan.

Program itu menyasarkan acara antarabangsa untuk menarik pelancong dan memberi rangsangan kepada industri pelancongan Malaysia, kata beliau.

"Penglibatan kami dengan acara-acara sukan bereputasi seperti ini pasti mempromosikan Terengganu sebagai destinasi antarabangsa untuk sukan, perniagaan dan pelancongan," kata beliau.

Azman berkata dalam perkongsian strategik ini, MAS akan menyediakan pengangkutan udara premium untuk pelayar, ahli jawatankuasa teknikal pertandingan, pengadil antarabangsa, dan anggota media yang masuk dan keluar untuk kejohanan eksklusif ini.

Sementara itu, Penasihat Perlumbaan Piala Monsun Datuk Peter Gilmour berkata mereka gembira dengan sokongan yang diberikan oleh MAS dalam membantu meningkatkan prestij acara ini.

"Ini menjadi petunjuk jelas tarikan global Piala Monsun dan peluang sebagai satu saluran untuk penajaan sukan," kata beliau.

MAS dan anak-anak syarikatnya merupakan penyokong konsisten dalam aktiviti-aktiviti pelancongan sukan di Malaysia dengan menjadi syarikat penerbangan rasmi untuk acara seperti kejohanan Golf Terbuka Malaysia, Kejohanan Golf Antara Pasukan Amatur Dunia, Le Tour de Langkawi dan Klasik Asia Pasifik CIMB baru-baru ini.

Tahun lepas, Firefly, anak syarikat MAS adalah syarikat penerbangan rasmi untuk Piala Monsun.

No comments:

Post a Comment