Tuesday, November 15, 2011

Ahmad Said Buat Laporan Polis Terhadap Blogger Fitnah

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa blogger yang didakwa memfitnah beliau kononnya ditangkap khalwat sebelum ini.

Laporan dibuat menerusi Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid di ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini kira-kira pukul 3.35 petang.

Menurut Wan Ahmad Nizam, beliau diamanahkan oleh Menteri Besar untuk membuat laporan polis bagi memperbetulkan keadaan yang mengaibkan keluarganya.

"Laporan ini dibuat bagi menutup segala tohmahan terhadap beliau (Menteri Besar) berhubung isu tangkap khalwat dan isu kahwin lain yang disiarkan oleh beberapa blog sebelum ini.

"Justeru, kita telah serahkan bahan bukti (kandungan blog berbaur fitnah yang telah difotostat) kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu, petang semalam.

Menteri Besar sebelum ini dilaporkan bercadang untuk membuat laporan polis dan menyaman dua pemilik laman blog yang dikatakan memfitnah dirinya berhubung isu beliau dikatakan telah ditangkap basah sebelum ini.

Ahmad merujuk dua dua blogger itu ialah pemilik blog http://msomelayu.blogspot.com/ dan guanopulok.blogspot.com yang didakwa memfitnah beliau sejak tiga bulan lalu.
Tambah Ahmad, pihaknya juga telah mengenalpasti pemilik blog itu sebagai blog 'mso' manakala sebuah lagi blog iaitu 'guanopulok' masih lagi disiasat kerana blog tersebut dipercayai telah didaftarkan di California.

Dalam laporan pada 4 Oktober lalu, pemilik blog guanopulok.blogspot.com mendakwa Menteri Besar itu telah 'ditangkap' oleh seseorang di Hilton Sentral.

Menurut cerita dalam blog itu, isteri ketiganya itu yang berumur sekitar 40-an merupakan bekas isteri ahli perniagaan yang juga bekas isteri kerabat Diraja Terengganu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara itu.

"Saya tak boleh ulas panjang mengenai perkara itu tapi kita akan siasat kes tersebut di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment