Saturday, November 19, 2011

Terima Kasih Presiden Obama Kerana Penempatan Guru Bahasa Inggeris

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam menyampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden Barrack Obama dengan penghantaran 50 guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat pada bulan Januari akan datang.

Penempatan guru-guru itu dibuat di bawah satu skim yang dicadangkan Najib melalui Suruhanjaya Malaysia-Amerika bagi Pertukaran Pendidikan dan mereka akan ditempatkan di tiga buah negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Johor.

"Saya menyatakan bahawa ini adalah respons beliau kepada cadangan yang telah saya buat di New York pada bulan September 2010.

"Saya berharap jumlah ini dapat dipertingkatkan pada masa-masa akan datang," katanya.

Perkara ini dinyatakan kepada Obama ketika kedua-dua pemimpin Malaysia dan Amerika Syarikat mengadakan pertemuan dua hala di Bali, di luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang dijadual berlangsung hari ini.

Pada pertemuan itu, Obama menyatakan harapan agar Malaysia dapat memainkan peranan yang produktif bagi membantu ke arah kestabilan dan kemakmuran dunia.

"Obama melihat Malaysia berpengaruh di rantau ini dan juga dengan negara-negara Islam.

"Beliau berharap Malaysia dapat mainkan peranan yang produktif dan membantu ke arah penyelesaian konflik dan boleh membantu ke arah kestabilan dan kemakmuran dunia," katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia di Nusa Jaya, Bali malam semalam.

Obama, kata Najib melahirkan penghargaannya terhadap Malaysia yang telah dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan AS selain mengalu-alukan peranan Malaysia dalam konteks sebuah negara Islam yang progresif.

"Juga peranan kita untuk menangani beberapa isu tertentu seperti isu pengawalan senjata, yang mana Malaysia telah memainkan peranan yang amat positif," katanya.

Sehubungan itu, Presiden Amerika itu telah meminta Malaysia mengkaji kemungkinan menyertai Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI), yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat.

"Kita sedang mengkaji inisiatifnya, tetapi saya maklumkan kepada Presiden Obama meskipun kita belum atau tidak menyertai PSI, Malaysia tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai pusat transit dalam perdagangan bahan-bahan senjata pemusnahan meluas, termasuk juga apa yang boleh digunakan untuk membuat senjata nuklear," katanya.

Perdana Menteri berkata dengan terlaksananya Akta Perdagangan Strategik, yang telah diluluskan, Malaysia mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak termasuk sebarang kenderaan seperti kapal dan kapal terbang yang digunakan untuk membawa masuk atau keluar barang-barang atau bahan-bahan yang digunakan, yang bertentangan dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Mengenai soal keselamatan maritim, yang ada kaitan dengan perkara yang dibincangkan dengan Asean, Amerika telah menegaskan bahawa ia mesti diselesaikan melalui rundingan serta berpandu kepada undang-undang antarabangsa terutama sekali Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

No comments:

Post a Comment