Tuah menyebelahi seorang pemandu trak tunda apabila ikan yang dinaikkannya selepas 15 minit Pertandingan Memancing Pantai Piala Monsun 2011, di sini, bermula jam 8 pagi semalam, menjadi juara untuk merangkul hadiah wang tunai RM30,000.
Roslan Hamzah, 36, dari Seberang Jertih, Besut, berkata beliau sudah menyertai beberapa siri pertandingan memancing GP Joran anjuran Berita Harian, tetapi tidak pernah memenangi sebarang hadiah.
"Selepas diberitahu penganjur saya adalah juara pertandingan ini, saya tergamam. Namun, saya bersyukur kerana rezeki ini dan berterima kasih kepada penganjur. Saya bercadang menggunakan wang ini untuk membesarkan perniagaan trak tunda yang saya usahakan.
“Sebenarnya saya tidak menyangka langsung boleh menang kerana pada awal pertandingan saya berdepan cabaran tali pancing putus. Namun, inilah dinamakan rezeki. Saya akan menyimpan sebahagian wang ini untuk perbelanjaan pendidikan tiga anak,” katanya.
Hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed sambil disaksikan Pengerusi T-Best Events Sdn Bhd, Tan Sri Sabbarudin Chik dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.
Hadir sama Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Rosli Yusof.
Tempat kedua dimenangi A Ghafar Asnawi, 33, dari Terengganu dan menerima hadiah wang tunai RM10,000, manakala tempat ketiga Mohd Salaidin Ibrahim, 24, juga peserta tempatan memenangi wang tunai RM5,000. Selain wang tunai, semua pemenang turut menerima hadiah iringan sumbangan penaja antaranya UFL Coleman, TCE Tackle, Nestle dan Maggi.
Pertandingan anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Berita Harian itu menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM58,200 dengan pemenang pertama hingga ke-57 mendapat hadiah tunai selain dua cabutan bertuah, iaitu motosikal.
Pada acara itu kira 5,000 pengunjung dan 1,000 kaki pancing membanjiri tapak Karnival Memancing Pantai berkenaan seawal jam 7 pagi tadi.
Kaki pancing mula melabuhkan joran masing-masing seawal jam 8 pagi di persisiran muara Sungai Terengganu dengan mensasarkan ikan pari, siakap, semilang, belukang dan tetanda sebagai taruhan.
Pengunjung Juga tidak ketinggalan melepaskan peluang menyaksikan pameran motosikal berkuasa tinggi dan demonstrasi bot laju yang dianjurkan penganjur utama acara Piala Monsun 2011, T-Best Event Sdn Bhd di persisiran pantai berkenaan.
Pembabitan Berita Harian menerusi Karnival Memancing bagi acara pantai itu juga menggambarkan pengiktirafan pihak penganjur terhadap populariti GP Joran BH di samping memeriahkan acara tahunan perlumbaan kapal layar bertaraf dunia itu yang diadakan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment