Sunday, November 27, 2011

Semua Daerah di Terengganu Pulih, Kecuali Kuala Terengganu

Menteri Besar melawat mangsa banjir di salah sebuah pusat penempatan akhir minggu lalu.

Banjir yang melanda Terengganu sejak Ahad lalu bertambah baik apabila keadaan semua daerah kecuali Kuala Terengganu pulih sehingga petang ini.

Tiga daerah lagi yang pulih ialah Hulu Terengganu, Marang dan Setiu, sementara semua pusat pemindahan di daerah-daerah terbabit sudah ditutup.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata, berikutan air yang mula surut, seramai tujuh orang di Hulu Terengganu, Marang (23) dan Setiu (77) telah dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, katanya, seramai 117 orang di Kuala Terengganu belum dibenarkan pulang kerana kawasan rumah mereka masih ditenggelami air, dan semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Guntong.

Beliau berkata, air di sungai-sungai utama pada keseluruhannya berada di bawah paras biasa dan cuaca cerah mula kelihatan di negeri itu hari ini.

Pagi ini, dilaporkan, banjir di Terengganu terus bertambah baik dan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan semakin berkurangan.

Sehingga pukul 9 pagi ini, seramai 249 orang mangsa masih berada pusat pemindahan di negeri ini berbanding 561 orang petang semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN), negeri Terengganu berkata, di Hulu Terengganu terdapat tujuh orang, Kuala Terengganu (142), Marang (23) dan Setiu (77).

Katanya, lima buah pusat pemindahan masih lagi beroperasi di Terengganu iaitu masing-masing satu di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Setiu dan dua di Marang.

Beliau berkata, paras air sungai utama yang meningkat melebihi paras bahaya sejak banjir melanda negeri ini Ahad lepas, telah menurun ke paras waspada sejak Jumaat lepas.

No comments:

Post a Comment