Tiga bekas pemain Kelantan yang pernah mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan pasukan itu pada musim lalu akhirnya kembali semula ke pangkuan skuad The Red Warriors (TRW) untuk mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2012.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang mengumumkan bahawa ketiga-tiga mereka, Indra Putra Mahayuddin (gambar kiri), Norfarhan Muhammad dan Azizi Mat Rose kembali menyarung jersi Kelantan.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini menyertai T'Team dan membantu pasukan kelab itu sampai ke peringkat separuh akhir dan kalah kepada juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan 2011 pada dua perlawanan iaitu di Kuala Terengganu dan Seremban.
Menurutnya, persetujuan mengenai kontrak telah dilakukan sejak empat bulan lalu biarpun proses menandatangani kontrak, baru sahaja dilakukan untuk memperkuatkan lagi pasukan.
"Tidak timbul isu saya memanggil semula mereka. Urusan bola sepak adalah urusan profesional. Dalam urusan profesional, soal sentimen tidak penting, yang penting pemain boleh memenuhi kriteria kita.
"Kita ingin memastikan setiap pemain adalah pemain yang boleh mengisi kekosongan apabila berlaku kecederaan atau penggantungan.
"Sekurang-kurangnya setiap posisi ada dua pemain yang sama kaliber.
Pengalaman sebelum ini mendapati, pemain simpanan tidak cukup kuat untuk menjaga prestasi pasukan," katanya semalam.
Tambahnya, TRW akan mempunyai sistem penggiliran kerana mempunyai cukup pemain dan kualiti sama selain tidak mahu wujud istilah pasukan pertama atau kedua kerana memiliki tahap yang sama.
Annuar sebelum itu menghadiri majlis pengumuman 28 pemain pasukan Kelantan yang akan beraksi bagi musim 2012 yang berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu semalam.
Annuar memberitahu, selain tiga pemain tersebut, bekas penyerang Kedah, Azlan Ismail yang juga anak jati Kelantan kembali menyarung jersi TRW biarpun masih menjalani proses pemulihan akibat kecederaan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan dua pemain import dari Ghana yang menjalani latihan bersama TRW sejak sebulan lalu iaitu Denny Antwi serta Emmanuel Okine dan sah menyarung jersi Kelantan untuk dua musim.
"Kita juga telah menamatkan perundingan dengan seorang lagi pemain import dari Lebanon iaitu Mohamad Ghaddar yang juga penyerang pasukan kebangsaan negara itu yang telah bersetuju bersama TRW selama dua musim," jelas Annuar.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment