Pasukan Teluk Pasu yang menjuarai Pertandingan Perarakan Bot Berhias 2011 di Sungai Nerus, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Tepian tebing Sungai Nerus di Kampung Jeram Manir, dekat sini lazimnya agak sunyi. Namun ia bertukar menjadi pesta, sesak dengan ribuan pengunjung dan diterangi dengan lampu beraneka warna serta deruan enjin bot, baru-baru ini.
Buat julung kalinya, sungai yang suatu ketika pernah menjadi nadi kehidupan penduduk di sekitarnya dimanfaatkan bagi pertandingan bot penambang berhias sebagai acara kemuncak memeriahkan penutupan Sukan Rakyat Mega Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu.
Sebahagian daripada bot yang menyertai pertandingan Bot Berhias 2011 di Sungai Nerus, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Pertandingan kelolaan Pejabat ADUN Teluk Pasu itu merupakan acara kemuncak program Sukan Rakyat Mega, yang paling meriah pernah diadakan di peringkat DUN.
Program Sukan Rakyat Mega digerakkan bagi menarik penglibatan seramai mungkin penduduk dan lebih menjurus ke arah mengeratkan hubungan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia.
Melalui program itu, ia juga boleh menjadi wadah mengeratkan kerjasama berpasukan antara kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, pertubuhan belia, jabatan kerajaan, agensi awam serta syarikat swasta.
Selain pertandingan bot berhias yang nyata mencuri tumpuan, acara sukan rakyat dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan termasuk tarik tali, anyam ketupat, rakit darat, sepak raga bulat, boling kelapa, baling telur dan teka biji nangka.
ADUN Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, acara dianjurkan bukan semata-mata mahu meraih hadiah dan mempamerkan kreativiti, tetapi lebih daripada itu, ia adalah platform untuk menghidupkan tradisi sukan rakyat.
Katanya, ia dilakukan dalam usaha menyuburkan sukan dan kegiatan lain yang dikaitkan dengan tradisi dan menarik penglibatan generasi muda agar mereka menghargai dan merasai pengalaman bersama.
“Contohnya perarakan bot berhias. Tradisi ini sudah lama dan begitu tersohor dalam kalangan penduduk Terengganu satu ketika dahulu terutama pada perayaan tertentu atau hari kebesaran.
“Bot pernah menjadi pengangkutan penting di Terengganu. Perarakan bot berhias adalah acara orang kita, bukan ditiru dari negeri atau negara lain walaupun tidak sehebat perarakan bot berhias di Putrajaya atau Sungai Melaka,” katanya.
Upacara penutup program itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang jelas teruja dengan sambutan luar biasa masyarakat terhadap acara itu.
Turut menyaksikan perarakan tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri dan ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh.
Abdul Rahin mengakui program itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan idea kreatif untuk menghasilkan sebuah bot berhias yang mampu memukau kehadiran pengunjung.
Sebab itulah katanya, pihak penganjur mendapatkan kerjasama agensi kerajaan dan swasta bagi menampung sebahagian perbelanjaan serta bersepakat untuk tonjolkan persembahan untuk tontonan umum.
Agensi yang terlibat termasuklah Muzium Terengganu, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Pusat Giat Mara Kuala Nerus dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).
MCA Kuala Nerus turut serta dalam pertandingan dengan rekaan bot berhias bertemakan naga dan tanglung serta pertunjukan perahu berlampu daripada Persatuan Perahu Panjang Kuala Terengganu.
Mempertaruhkan tema ayam dan pasu warna emas telah membawa tuah kepada pasukan Teluk Pasu pada pertandingan perarakan itu yang muncul sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM5,000.
Sentuhan penduduk dua kampung iaitu Teluk Pasu dan Sekati itu dibuat selepas mengambil kira tema asal usul kedua-dua kampung itu yang berkait dengan penemuan pasu emas dan tempat ayam bertelur.
Dengan kerjasama jabatan angkat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Petanian Malaysia (Mardi), kreativiti limpahan lampu warna-warni yang melingkari replika ayam betina yang bertenggek atas pasu besar menarik perhatian juri.
Pengurus pasukan Teluk Pasu, Mohd. Zali Zakaria berkata, pasukannya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan bot berkenaan termasuk hiasannya sekali dengan kos paling minimum.
“Untuk menghias, kami perlukan masa tiga hari iaitu melibatkan replika empat ekor ayam dan sebuah pasu besar. Kami bekerja keras menyiapkan bot berhias ini dengan bantuan Mardi,” katanya.
Tempat kedua dimenangi pasukan Kebor Besar dan Jabatan Perikanan yang membawa pulang hadiah RM4,000 manakala pasukan Jeram dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di tempat ketiga (RM3,000) dan keempat menjadi milik Bukit Petiti dan Pusat Giat Mara (RM2,000).
Turut memberi saingan ialah pasukan Kampung Kebor Air, Kebor Besar, Kesom, Petai Bubus, Tanjung Bunut, Bukit Petiti, Jeram dan Banggol Peradong.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment