Lebih 90 peratus daripada kira-kira 3,000 pelajar Terengganu yang gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berjaya menempatkan diri di institusi kemahiran setelah melalui kursus tiga bulan anjuran kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kursus itu bagi memastikan tiada pelajar lepasan SPM di Terengganu yang tercicir daripada melanjutkan pengajian ke institusi pengajian atau kemahiran.
Katanya, program yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan Terengganu itu melibatkan beberapa pusat kemahiran termasuk Kolej Universiti Tati, Akademi Binaan Malaysia, Kolej Tesdec, Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) dan Institut Kemahiran Belia Negara.
“Dengan kerjasama Jabatan Pelajaran negeri, golongan itu dikesan menunjukkan sikap tidak minat kepada akademik dan hilang fokus pada pembelajaran di bilik darjah dengan mengambilkira keputusan percubaan SPM mereka.
“Kita mahu remaja berkenaan memiliki kemahiran bagi membuka jalan kerjaya mereka pada masa depan serta dapat membatu keluarga berkenaan keluar dari kepompong kemiskinan dan pengangguran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival Inovasi dan Skills Malaysia Terengganu 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Nidzam Kamarulzaman dan Pengarah Urusan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Dr. Mohd. Zaki Mohd. Said.
Kata Ahmad Razif, selepas melalui kursus tiga bulan itu, kebanyakkan mereka memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti sijil kemahiran, sijil tinggi kemahiran dan diploma kerana mula memahami prospek kerjaya bidang kemahiran.
“Kita mahu mereka guna aliran kemahiran dan vokasional untuk memajukan diri kerana kerjayanya cukup luas malah pendapatan mereka lebih lumayan berbanding golongan profesional jika ada kesungguhan,” jelasnya.
Tahun ini katanya, seramai kira-kira 3,000 lagi pelajar lepasan SPM bakal menduduki kursus yang sama.
“Sebelum itu, mereka telah ditempatkan di beberapa pusat kemahiran selama tiga hari dua malam untuk menilai minat dan bakat masing-masing bagi memilih bidang yang bakal diceburi untuk kursus tiga bulan nanti.
“Kerajaan negeri membelanjakan peruntukan RM1 juta untuk program bersifat ‘honeymoon’ itu dan ia diuruskan melalui Yayasan Terengganu,” ujarnya.
Sementara itu, sebanyak 43 agensi dan syarikat terlibat dalam karnival tiga hari itu yang melibatkan aktiviti seperti symposium, slot perkongsian kerjaya pelajar sekolah, demo kemahiran, temuduga terbuka, pertunjukkan sains dan ceramah inovasi.
Teganukita
No comments:
Post a Comment