Arena pelayaran akan mulai tertumpu ke Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk Piala Monsun 2011 Selasa depan untuk menyaksikan acara kemuncak Siri Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) bagi menentukan juara dunia tahun ini.
Menjelang kemuncak WMRT di Piala Monsun, pendahulu dengan 106 mata, Ian Williams (GAC Pindar ) berazam untuk terus berada di kemuncak dan membuat keputusan ‘terbang awal’ ke Kuala Terengganu bagi membiasakan diri dengan cuaca dan persekitaran.
Ketibaan empat hari lebih awal sebelum bermula Piala Monsun dilihat memberi kelebihan buat dia dan krew pasukan untuk mengekalkan prestasi dalam usaha merangkul gelaran juara WMRT buat kali ketiga.
Pesaing terdekat, Francesco Bruni (Bruni Racing) dan Torvar Mirsky (The Wave Muscat) yang masing-masing mengumpul 100 mata bagaimanapun tidak dapat menjalani latihan sebelum perlumbaan kerana dua krew Mirsky kini bersaing dalam Siri Dunia AC di San Diego, Amerika Syarikat.
Namun Williams yang menjuarai WMRT pada 2007 dan 2008, masih perlu berwaspada dengan Jesper Radich (Adrian Lee & Partners) yang berada di tangga ketiga pada Piala Monsun tahun lalu serta Peter Gilmour (Yanmar Racing) yang pernah dua kali menjuarai Piala Monsun sebelum ini.
Turut perlu diberi perhatian ialah Johnie Berntsson (Berntsson Sailing Team) yang menduduki tangga kelapan ranking dunia ISAF dan dilihat mampu menggugat selepas memenangi tempat kedua Piala Argo Group Gold di Bermuda, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment