Wednesday, November 16, 2011

Terengganu Belanja RM1.2 Juta Pasang Alat Sukat Fluorida Di Loji Air

Gambar hiasan...Contoh alat menyukat florida bagi mengukur tahap kandungan bahan itu pada tahap yang selamat.

Kerajaan negeri Terengganu membelanjakan RM1.2 juta bagi memasang tujuh alat menyukat bahan fluorida di loji air di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Zaaba Mohd Adib.

Beliau berkata secara Terengganu merancang memasang 14 alat berkenaan di loji air di seluruh negeri tahun ini.

"Lima daripada alat berkenaan sudah siap dipasang di lima loji, dua sedang diperbaiki manakala tujuh lagi sedang disiapkan.

"Alat Fluoride Feeder ini penting bagi memastikan bekalan air mempunyai bahan fluorida di paras yang selamat bagi mencegah berlakunya kerosakan gigi terutama di kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia peringkat negeri di Dungun, semalam yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan Terenggannu (Bahagian Pergigian) Dr N Jegarajan.

Zaaba berkata program itu merupakan langkah pencegahan yang paling berkesan, murah dan selamat bagi mengurangkan beban penyakit karies gigi seperti diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"Dengan pemasangan itu, saya yakin menjelang akhir tahun ini, 100 peratus penduduk di negeri ini yang menerima air berpaip akan menikmati manfaat fluorida yang mampu mencegah kerosakan gigi dengan baik," katanya.

Beliau berkata masalah karies gigi masih merupakan masalah utama dalam kesihatan mulut di negara ini di mana Terengganu sendiri mencatatkan negeri kedua tertinggi kadar kejadian karies.

Katanya ini dapat dilihat dari kajian Epidemiologi Kebangsaan yang dilakukan pada 2007 mendapati 93.2 peratus iaitu sembilan daripada 10 kanak-kanak berusia enam tahun di Terengganu mengalami karies gigi ataupun gigi berlubang.

Zaaba berkata sehubungan itu pelbagai langkah telah diambil oleh pihak pergigian termasuk memperkasakan program ibu mengandung, program pemfluoridaan air minuman dan program `fluoride varnish' bagi kejadian karies dari peringkat awal lagi.

Katanya Kementerian Kesihatan juga memperuntukan RM2.6 juta tahun ini kepada Terengganu bagi menyediakan Klinik Pergigian Bergerak.

No comments:

Post a Comment