Monday, November 14, 2011

Pusat Dialisis Terengganu Terima Dua Mesin Hemodialisis

Pusat Dialisis Terengganu di sini menerima dua buah mesin hemodialisis dari Yayasan SP Setia bagi kemudahan pusat itu menyedia rawatan kepada pesakit.

Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata penyampaian dua buah mesin yang bernilai RM90,000 itu dibuat memandangkan mesin sedia ada di pusat berkenaan sudah lama dan ada yang tidak boleh digunakan lagi.

"Saya melawat pusat ini pada April lepas dan saya dapati mesin cuci buah pinggang di sini semuanya mesin lama dan ada yang tidak boleh digunakan lagi untuk merawat pesakit.

"Jadi saya berusaha memohon bantuan untuk mendapatkan dua buah mesin daripada Yayasan SP Setia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Lee Lam Thye," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan mesin itu di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu pengurus pusat itu Chee Gaik Tee.

Wan Ahmad Farid berkata, pihaknya akan melihat perkembangan pusat rawatan itu dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap perkhidmatan rawatan mencuci buah pinggang kepada pesakit.

Pada majlis itu juga beliau menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada pusat itu bagi membantu pesakit yang kurang mampu.

Ini kerana, katanya, setiap kali pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan dikenakan bayaran sebanyak RM150.

"Setiap pesakit menerima rawatan tiga kali seminggu. Ini bermakna ia perlu membayar RM450, jadi ada yang tak mampu. Bagi mereka yang tidak mampu kita benarkan mereka gunakan peruntukan yang kita salurkan itu sebagai subsidi," katanya.

Sementara itu Chee Gaik berkata, ketika ini pusat itu mempunyai kira-kira 50 pesakit dan ia dijangka bertambah sehingga 108 pesakit pada tahun depan.

Katanya dengan penyampaian dua buah mesin itu, diharap ia dapat membantu pusat ini memberi rawatan yang lebih selesa kepada pesakit.

No comments:

Post a Comment