Kerajaan negeri memperuntukkan RM31 juta bagi meningkatkan kebersihan dan keceriaan membabitkan pelbagai program kebersihan dan keindahan seluruh negeri tahun ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata, perbelanjaan membabitkan kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pengindahan landskap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta bantuan pengurusan kebersihan bandar.
Selain itu katanya, sebanyak RM1.41 juta juga diperuntukkan bagi menjayakan keseluruhan pertandingan kebersihan membabitkan kawasan kampung, sekolah, pra sekolah, tanah perkuburan, masjid dan premis makanan.
Wan Ahamad berkata demikian di majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Terengganu 2011 di Wisma Darul Iman semalam.
Hadir sama, Penolong Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran dan Operasi) Kerajaan Tempatan, Encik Mohd Shahrir Ghani dan Timbalan Pengarah Pelajaran, Encik Hashim Mat Zin.
“Kerajaan amat prihatin dalam soal kebersihan dan tidak pernah berkompromi dalam soal kebersihan serta bersedia mengeluarkan peruntukan besar bagi mewujudkan persaingan sihat kalangan warga pendidik dan pelajar untuk menjaga kebersihan sekolah,” katanya.
“Kejayaan sesebuah negeri bukan saja dinilai melalui pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya perlu kaya budi bahasa, berakhlak mulia, berilmu serta mencintai kebersihan,” katanya.
Katanya, pembentukan budaya mencintai kebersihan wajar dimulakan seawal usia muda dan inisiatif kerajaan mengajurkan beberapa kategori pertandingan kebersihan secara tidak langsung menjadi serampang dua mata yang memberi impak besar pada sektor pelancongan.
Wan Ahamad kemudiannya menyarankan setiap daerah mempunyai sebuah sekolah bersih sebagai model yang boleh dijadikan sumber inspirasi dan penanda aras kepada sekolah lain disamping dapat mewujudkan persaingan sihat kalangan warga pendidik dan pelajar.
“Dengan cara tersebut buka saja sekolah dan kampung yang kelihatan bersih malah hubungan masyarakat juga menjadi erat dan harmoni,” katanya.
Teganukita
No comments:
Post a Comment