Tuesday, November 15, 2011

Tiga Kampung Di Hulu Terengganu Diisytihar Kawasan Wabak Hepatitis A

Tiga kampung di Hulu Terengganu iaitu Kampung Basong, Pasir Dula dan Padang Setebu diisytihar kawasan wabak Hepatitis A apabila 42 orang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr A Rahman Mokhtar berkata bagaimanapun kampung-kampung berkenaan tidak dikuarantin dan boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja seperti biasa.

"Cuma kita nasihatkan sesiapa yang masuk ke kampung berkenaan, pastikan makanan yang hendak dimakan daripada sumber yang bersih. Kakitangan kita yang masuk ke kampung berkenaan juga diingatkan supaya menjaga kesihatan dengan baik," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa di hospital semalam.

Dr A Rahman berkata bermula semalam, 35 orang dari dua kampung dimasukkan ke hospital iaitu dari Kampung Basong 27 orang dan 14 orang dari Kampung Pasir Dula manakala pada hari ini pula, seorang lagi dari Kampung Padang Setebu.

Bagaimanapun daripada jumlah itu, sembilan orang telah dibenarkan keluar dari hospital manakala 33 masih ditahan untuk menerima rawatan.

Katanya semua sampel darah daripada pesakit dihantar ke Kuala Lumpur untuk dianalisis bagi memastikan wabak sebenar.

"Tetapi menurut pakar perubatan kes ini lebih kepada wabak Hepatitis A," katanya.

Dr A Rahman berkata sebagai langkah proaktif, Jabatan Kesihatan Hulu Terengganu mengambil beberapa langkah bagi membendung wabak itu, antaranya menubuhkan jawatankuasa wabak bagi menangani kes berkenaan.

Katanya jabatan juga mengambil inisiatif dengan meletakkan klorin di kawasan-kawasan punca air untuk mematikan kuman yang menjadi punca wabak itu.

"Kita kenal pasti bahawa punca wabak itu adalah daripada jangkitan kuman melalui air minuman atau makanan. Kampung berkenaan mendapat sumber air yang ditakung di atas bukit dan menyalurkannya ke rumah-rumah penduduk.

"Daripada siasatan, kita melihat ada tanda-tanda Orang Asli membuat pondok atau bangsal di tempat sumber air berkenaan dan mereka ini mungkin ada menjalankan aktiviti yang boleh mencemarkan air kerana kita dapati virus berkenaan adalah daripada najis manusia," katanya.

"Kita telah berbincang bagaimana hendak pastikan Orang Asli tidak membina pondok di tempat takungan air. Saya cadangkan supaya dilantik tiga atau empat Orang Asli untuk menasihatkan atau menegah kumpulan mereka jangan mengadakan aktiviti di kawasan punca air bagi menghindar wabak itu," katanya.

Katanya Jabatan Kesihatan juga membuka bilik gerakan dan klinik bergerak di Balai Raya Kampung Pasir Dula meminta semua orang kampung membuat pemeriksaan.

Beliau berkata kes-kes tidak serius akan dirawat di situ manakala kes yang agak berat akan dirujuk ke hospital.

Katanya semua keadaan mangsa yang masih dirawat kini beransur pulih.

No comments:

Post a Comment