Sunday, November 13, 2011

Rumah Rakyat: Terengganu belanja RM600j

Kawasan Ladang dan Ladang Tok Pelam antara kawasan yang menjadi tumpuan pembinaan perumahan rakyat di Terengganu.

Kerajaan Terengganu membelanjakan kira-kira RM600 juta bagi menyiapkan kira-kira 6,000 unit kediaman mampu milik untuk rakyat sejak tiga tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, dalam tempoh lima tahun ini kerajaan negeri mensasarkan untuk menyiapkan kira-kira 10,000 unit kediaman mampu milik.

"Seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, kita telah membina beberapa projek perumahan mampu milik di Pulau Duyong dan yang terbaru akan diserahkan oleh kontraktor pada Disember ini.

"Kita beri peluang dan keutamaan kepada penduduk pulau itu yang masih belum mempunyai rumah kediaman,” katanya pada majlis Turun Padang di DUN Bukit Tunggal semalam.

Ahmad Said berkata, selain itu satu projek perumahan di Padang Hiliran sedang dalam pembinaan melibatkan 1,000 unit manakala satu lagi akan bermula pada Disember ini melibatkan flat 30 tingkat di Kampung Ladang Tok Pelam, kedua-duanya di bandar Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi tumpuan kepada penduduk yang tinggal di pulau-pulau negeri ini yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman.

Kerajaan akan membangunkan 350 unit kediaman di Pulau Perhentian dan 250 unit kediaman di Pulau Redang.

"Masalah di pulau ni terutamanya Pulau Perhentian, ada rumah yang didiami oleh tiga atau empat keluarga disebabkan mereka tidak ada tanah untuk mendirikan rumah. Jadi kita buat flat untuk mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment