Sunday, November 27, 2011

Sambutan Maal Hijrah di Terengganu Sederhana, Tetap Meriah


Ketibaan musim tengkujuh dan banjir yang melanda lima daerah di negeri ini minggu lalu, tidak menjejaskan pelbagai persiapan dan aturcara yang disusun sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1433 Hijrah/2011 Masehi.

Maal Hijarh di Terengganu dimulakan dengan Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Masjid At-Taqwa, Durian Burung, Kuala Terengganu, malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, hadir pada majlis berkenaan.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Tahun 1433 Hijrah/2011 Masehi adalah bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" dan disambut sederhana namun meriah.

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun, solat Maghrib, bacaan doa akhir tahun, solat hajat dan bacaan Yasin.

Sebelum itu, bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Ismail Ali menyampaikan Bicara Khas Maal Hijrah yang turut disertai jemaah sekitar.

Pada pagi ini, Menteri Besar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan turut hadir pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Stadium Negeri, yang dimulakan kira-kira jam 9.30 pagi.

Datuk Seri Haji Ahmad menyampaikan anugerah Tokoh Maah Hijrah Negeri Terengganu dan pelbagai anugerah sempena sambutan Maal Hijrah kepada para pemenang di majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment