Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendengar penerangan Presiden Kelab UNESCO Universiti Malaysia Pahang, Qusyairi Hashim, ketika melawat pameran selepas merasmikan Hari UNESCO Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, hari ini.
Pihak sekolah perlu mengembalikan semula wang bantuan persekolahan RM100 kepada kerajaan sekiranya wang terbabit tidak dituntut oleh ibu bapa pelajar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ibu bapa juga boleh membuat pilihan sama ada untuk menerima bantuan itu atau tidak atau berhasrat untuk menyumbang kepada pihak sekolah. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ibu bapa bagaimanapun perlu membuat tuntutan ke atas wang berkenaan mereka sebelum membuat keputusan untuk menyumbang kepada sekolah.
"Kalau di sekolah itu ada ibu bapa pelajar yang kata tidak memerlukan (bantuan) dan sebagainya, itu tidak apa. Kita dah arahkan kepada sekolah, kalau ada lebihan, mereka pulangkan kepada kementerian dan akan masuk balik dalam tabung kerajaan, itu duit kerajaan.
"Terserah kepada ibu bapa (untuk ambil atau tidak) kerana tujuan kita hendak kurangkan beban sebab awal tahun nak belanja beli kasut dan sebagainya. Kalau ibu bapa kata dah mampu dan ada kemudahan lain dan fikir nak sumbangkan...ibu bapa kena ambil dahulu duit itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari UNESCO Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Muhyiddin berharap pengagihan wang bantuan itu dapat diselesaikan dalam bulan ini dan sekiranya masih belum dituntut oleh ibu bapa atas sebab-sebab tertentu, pengetua atau guru besar di sekolah berkenaan boleh membuat keputusan mengenai perkara terbabit.
"Kalau masih ada ibu bapa yang jauh atau ke luar negara, itu tidak menjadi masalah kerana duit itu kita akan simpan dulu.
"Kalau ada yang tidak disampaikan lagi oleh sebab tertentu, guru besar atau pengetua boleh buat keputusan. Kalau ada sampai hujung tahun (tidak dituntut), mereka kena serahkan baliklah," katanya.
Wang bantuan persekolahan RM100 sudah mula diagihkan kepada 5.3 juta pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 sejak 15 November lalu.
Pengumuman bantuan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lalu.
Ia diagihkan lebih awal untuk memudahkan urusan pengagihan dibuat dengan lancar.
Mengenai isu Pusat Fidlot Nasional (NFC), Muhyiddin berkata perkara itu tidak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.
Katanya, kerajaan tidak akan termakan dengan cerita pembangkang kerana sudah mengetahui fakta yang sebenar mengenai isu berkenaan.
"Itu terserah kepada rakyat untuk menerimanya. NFC sudah menjelaskan dan menjawab satu persatu perkara berbangkit dan penjelasan juga sudah dibuat oleh pengerusi eksekutifnya," katanya.
Ditanya mengenai siasatan yang dijalankan ke atas NFC oleh pihak berkuasa, beliau berkata: "Terserah kepada pihak berkuasa kalau ada siasatan."
No comments:
Post a Comment